am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Umat Islam tidak seharusnya terikut-ikut dengan budaya takut ketinggalan atau ‘fear of missing out’ (FOMO) yang semakin menular dalam masyarakat, termasuk menyertai sambutan yang bercanggah dengan syarak.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, budaya FOMO ketika ini semakin sukar dibendung apabila masyarakat cenderung mengikut sesuatu perkara hanya kerana ia dilakukan orang lain atau menjadi tular.
“Justeru, kita perlu sama-sama menjaga diri dan tidak mudah terpengaruh dengan sesuatu trend kerana setiap tindakan serta amalan yang kita lakukan hari ini akan memberi kesan kepada pembentukan generasi akan datang.
“Disebabkan itu, kesedaran untuk memelihara perkara ini perlu dipupuk dan bermula dari sekarang,” katanya selepas Program Kembara Mahabbah Madani di Kedai Buloh, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menyantuni lima beranak yang terbabit dalam nahas di Sungai Bari, Setiu, Terengganu pada 2 Jun lalu.
Mengulas lanjut, Marhamah berkata, umat Islam perlu lebih berhati-hati sebelum menyertai sebarang bentuk perayaan atau upacara termasuk sambutan Halloween bagi memastikan ia tidak menjejaskan akidah dan amalan agama.
“Dalam kita hendak bergembira dan menyambut apa-apa upacara, kita perlu pastikan upacara itu tidak melanggar syarak, lebih-lebih lagi kita yang beragama Islam kerana setiap perkara itu akan ada implikasinya terhadap akidah dan amalan kita.
“Teguran ini bukan hanya ditujukan kepada golongan muda, tetapi juga golongan dewasa. Setiap perkara yang ingin dilakukan perlu dipastikan terlebih dahulu selari dengan kerangka syarak demi memelihara dan mempertahankan akidah serta tauhid,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, ayam yang dimatikan terlebih dahulu sebelum melalui proses penyembelihan mengikut syarak dikategorikan sebagai bangkai dan haram dimakan.
“Umat Islam perlu memastikan sumber makanan yang diambil benar-benar halal dan memenuhi syarat penyembelihan ditetapkan syarak susulan pendedahan mengenai isu ayam direndam di dalam air yang mempunyai arus elektrik sebelum proses penyembelihan dilakukan.
“Haiwan yang dimatikan terlebih dahulu dengan apa-apa cara sebelum disembelih adalah haram dimakan kerana proses penyembelihannya tidak menepati kehendak syarak,” katanya.
Sehubungan itu, Marhamah mengingatkan semua pihak yang terbabit supaya tidak hanya mengejar keuntungan sehingga mengabaikan kepentingan masyarakat, khususnya dalam memastikan bekalan makanan yang dipasarkan memenuhi tuntutan halal.
“Jangan hanya fikir untung. Kita kena fikir apa sahaja yang memberi makna kepada masyarakat. Walaupun mungkin tidak kelihatan secara zahir, akhirnya ia tetap akan dinilai oleh Allah SWT.
“Dalam pada itu, saya juga menggesa pihak yang terbabit dalam kegiatan berkenaan dikenakan tindakan tegas bagi mengelakkan perbuatan sama berulang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




