am@hmetro.com.my
Jelebu: Bekas imam Masjid Jamek Kuala Klawang membuat laporan polis bagi menyangkal kenyataan media Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berhubung isu solat Jumaat yang tidak dilaksanakan di masjid berkenaan Jumaat lalu.
Bekas imam berkenaan ketika dihubungi mengesahkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kuala Klawang itu.
Menerusi laporan polis bertarikh 31 Oktober 2026, bekas imam berkenaan mendakwa notis peletakan jawatan diserahkan secara bertulis pada 27 Oktober melalui kumpulan WhatsApp rasmi Pegawai Masjid Daerah Jelebu.
Katanya, dia turut mendakwa mengesahkan keputusan itu dalam pertemuan bersama Pegawai Agama Islam Daerah Jelebu pada 28 Oktober, dengan peletakan jawatan berkuat kuasa pada tarikh berkenaan.
Bekas imam itu juga turut menafikan dakwaan berhubung penerimaan elaun dengan menjelaskan bayaran yang diterima pada 22 Oktober menjadi hak bagi tugas yang dijalankan sebelum peletakan jawatan.
Mengulas insiden pada Jumaat lalu, dia menegaskan kehadirannya di masjid adalah sebagai jemaah biasa dan bukan lagi sebagai imam.
Laporan polis itu dibuat bagi membantah kenyataan JHEAINS yang disifatkannya tidak tepat serta mempertahankan reputasi dirinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




