MELAKA – Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor diminta memberi ruang dan peluang kepada penyandangnya, Datuk Tuminah Kadi untuk terus membuktikan kemampuan serta khidmatnya kepada masyarakat di kawasan itu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Tangga Batu, Datuk Rais Yasin berkata, PRN Melaka kali ini merupakan penggal kedua Tuminah bertanding di kerusi berkenaan.
Menurutnya, segala isu dalaman yang timbul sebelum ini termasuk dakwaan penolakan terhadap calon BN dan agihan kerusi sudah diselesaikan menerusi semangat kekeluargaan dalam parti.
“Saya merayu dan memohon kepada orang Pantai Kundor supaya memberi ruang dan peluang kepada Tuminah untuk beliau tonjolkan lagi apa yang mampu dilakukan untuk masyarakat di kawasan itu.
“Secara dalamannya, sedikit demi sedikit perkara itu sudah kita selesaikan dalam semangat kekeluargaan,” katanya mengulas isu berbangkit termasuk penolakan calon dan agihan kerusi yang timbul sebelum penamaan calon.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pelancaran Pemasangan Bendera Jentera Pemuda BN Parlimen Tangga Batu di sini pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan berlaku isu penolakan calon babit DUN Pantai Kundor dan Durian Tunggal selain rasa tidak puas hati babit agihan kerusi bagi MCA.
Isu berkenaan timbul sejurus penamaan calon berlangsung di MITC dirasmikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi 24 Oktober lalu.
Mengulas lanjut, Rais berkata, seluruh jentera BN kini memberikan komitmen untuk memastikan kemenangan parti itu dan memperoleh kembali mandat rakyat pada 14 November ini.
Katanya, semangat kekeluargaan dalam UMNO dan BN perlu terus diperkukuh tanpa memburukkan mana-mana pihak, sebaliknya memberi tumpuan kepada kelebihan serta rekod khidmat calon.
Dalam perkembangan lain, Rais berkata, kerjasama jentera BN dan Pas di Parlimen Tangga Batu menunjukkan perkembangan positif apabila kedua-dua parti saling membantu dalam kempen PRN kali ini.
Katanya, komitmen Pas dapat dilihat menerusi kehadiran Naib Presiden parti itu, Datuk Idris Ahmad yang mengiringinya ketika proses penamaan calon bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
“Ini menunjukkan betapa Pas komited untuk bergerak seiring di Parlimen Tangga Batu.
“Di Paya Rumput sendiri, jentera BN tidak putus-putus membawa calon Pas, Rafie Ahmad, turun ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) untuk bertemu pengundi,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama sama turut dilaksanakan di DUN Klebang dan Pantai Kundor apabila calon BN masing-masing mengadakan pertemuan dengan pimpinan Pas kawasan.
“Insya-ALLAH, kita lengkapi satu sama lain kerana saya yakin BN di Tangga Batu ini kita mempunyai jentera yang baik.
“Kita boleh buat, cuma bila adanya jentera Pas yang kita tahu mereka juga telah berakar umbi sekian lama dalam Melaka ini, jadi kita akan bersama-sama untuk bergerak lebih menyeluruh di semua kawasan,” katanya.



