Pemilik pusat sembelihan langgar prosedur perlu dikenakan tindakan tegas – MB Selangor

Pemilik pusat sembelihan langgar prosedur perlu dikenakan tindakan tegas – MB Selangor

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Pemeriksaan berkala terhadap pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam segar perlu dipertingkatkan bagi memastikan operasi mematuhi prosedur dan piawaian ditetapkan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pada masa sama, kerjasama antara pengeluar sijil halal dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu diperkukuh bagi memastikan pemantauan terhadap operasi premis berkenaan dilaksanakan secara konsisten.

Beliau berkata, tindakan tegas termasuk pendakwaan perlu diambil terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan supaya undang-undang dapat dikuatkuasakan.

“Serbuan sudah dilakukan dan apa yang sewajarnya diambil adalah tindakan tegas, termasuk pendakwaan dan sebagainya supaya kita boleh mengambil tindakan berdasarkan undang-undang.

“Pengeluar sijil dan PBT perlu bekerja bersama. Pemeriksaan berkala harus dibuat supaya kita boleh memastikan operasi sensitif seperti pusat penyembelihan dapat beroperasi mengikut prosedur dan piawaian yang sepatutnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Simbolik Penyerahan Program Nutrisi Selangor (NUTRISEL & Mega NUTRISEL di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut mengalu-alukan aduan serta maklumat daripada orang ramai bagi membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan dan pemantauan terhadap premis ini.

Katanya, kerjasama semua pihak berautoriti penting bagi memastikan operasi pusat penyembelihan dipantau dengan sebaik mungkin.

Media sebelum ini melaporkan, ayam segar yang diproses oleh pusat penyembelihan dan pemprosesan di Puchong yang diserbu pihak berkuasa, direnjat elektrik sebelum disembelih.

Dalam serbuan Ops Taring Chiller Jumaat lalu, lebih 6.5 tan ayam mentah dirampas kerana disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak dan keperluan persijilan halal.

Premis itu didapati menggunakan kaedah renjatan air berarus elektrik.

Turut ditahan, seramai 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang dipercayai terbabit aktiviti penyembelihan serta pemprosesan ayam di premis berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top