sukan@hmetro.com.my
Georgetown: Pengendali Melaka FC (MFC), E Elavarasan menganggap kemenangan 2-1 ke atas Penang FC sebagai bonus buat skuad kendaliannya sekali gus menebus rekod tiga kali kekalahan berturut-turut pada aksi Liga Super sebelum ini.
Beliau berkata, pasukannya berhak mendapat sepakan penalti pada penghujung aksi semalam sekali gus membantu skuad kendaliannya meraih kemenangan pada masa sama mengakui pasukannya berdepan tugas sukar apabila bertandang ke gelanggang lawan.
“Secara keseluruhan, adalah paling penting untuk mendapatkan tiga mata jadi kami anggap bonus buat kami sebab sebelum ini Penang sudah tiga kali menang dalam pertemuan sebelum ini dan kekutannya pun bagus di laman sendiri.
“Kedua-dua pasukan mendapat sepakan penalti, tetapi saya fikir kami juga berhak mendapat penalti pada minit-minit akhir itu untuk memenangi perlawanan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan di Stadium Bandaraya, semalam.
Perlawanan semalam menyaksikan kem tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi kapten pasukan, Stefano Brundo di minit ke-62 diikuti jaringan penyamaan oleh Dino Kalesic (m-72) sebelum penalti lewat Abdel Kader Coulibaly membantu Melaka bangkit menewaskan Penang di minit ke-90.
Elavarasan, 64, ketika ditanya mengenai perancangan pasukan yang ketika ini dilihat berada dalam momentum baik berkata, beliau mahu fokus melakukan persiapan terbaik menjelang perlawanan berikutnya menentang Star City FC, 21 November ini.
“Saya rasa tempoh masanya agak lama, macam-macam boleh terjadi tetapi kami ingin kekal fokus melakukan persiapan terbaik untuk pasukan sebelum kami mengambil masa rehat seketika dan menyambung semula latihan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




