Bukan kerana persaingan, Noraniza Idris mahu generasi muda kenali irama Malaysia

Bukan kerana persaingan, Noraniza Idris mahu generasi muda kenali irama Malaysia

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Biarpun kebangkitannya pada tahun 2026 ini hadir tanpa sebarang perancangan rapi, ia tetap menjadi lembaran paling bermakna buat Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris.

Bagaimanapun, Noraniza, 58, atau lebih mesra disapa Kak Ani berkata, pada April lalu dia pernah merancang untuk mengeluarkan single, namun ia perlu ditangguhkan kerana sedang melalui proses pemulihan daripada pembedahan bariatrik.

“Saya sendiri tidak pernah menyusun semua perkara ini supaya berlaku serentak. Semuanya datang secara tidak dirancang.

“Pada asalnya, saya memang merancang untuk melancarkan single pada bulan April. Tetapi disebabkan melalui proses pemulihan, pelancaran itu terpaksa ditangguhkan.

“Kemudian, artis yang sepatutnya melancarkan single pada waktu yang sama mempunyai konsert, jadi saya memberikan laluan sekali lagi. Akhirnya, apabila Hafiz Hamidun terlibat dalam projek Salam Kaut, lagu itu berjaya dihasilkan,” katanya.

Noraniza berkata demikian ketika ditemui di Majlis pelancaran acara Kemuncak Festival Akar Kita Zapin 2026 dan pelancaran lagu Salam Kaut oleh Noraniza Idris, semalam.

Menurut Noraniza, matlamat utamanya untuk menyanyikan lagu Salam Kaut adalah semata-mata untuk memeriahkan kembali industri muzik tanah air, khususnya genre irama Malaysia.

Dalam pada itu, Noraniza turut menolak tanggapan bahawa kemunculannya itu didorong oleh keinginan untuk bersaing dengan mana-mana pihak mahupun menjatuhkan genre muzik lain.

“Saya cuma rindu untuk menyanyi dan mahu melihat irama Malaysia kembali mendapat tempat. Jadi, saya fikir bahawa kita perlu menghasilkan lagu baharu supaya generasi muda mempunyai sesuatu yang boleh mereka kenali dan dekat dengan diri mereka.

“Kita tidak boleh memaksa orang untuk menyukai irama Malaysia. Tetapi apabila mereka mula menerima dan menggunakan lagu kita, itu sudah menjadi satu perkembangan yang sangat baik,” katanya lagi.

Meskipun bersyukur dengan gelombang penerimaan positif peminat pada hari ini, Noraniza mengakui masih berasa terkejut dan sering mengambil langkah berjaga-jaga dalam meneliti setiap penghargaan yang diberikan.

“Saya sendiri masih sedikit terkejut dengan penerimaan ini. Saya bersyukur, tetapi dalam masa sama tertanya-tanya juga sama ada benar orang menghargai lagu dan usaha yang kita lakukan.

“Saya lebih selesa untuk tidak terlalu banyak bercakap tentang kejayaan sendiri kerana tidak mahu orang salah faham atau menganggap kita terlalu berlebihan. Saya mahu hidup dengan tenang dan menjaga hati semua pihak,” kongsinya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top