Tak perlu panik seperti negara lain, simpanan bekalan makanan Malaysia mencukupi – Ahmad Zahid

Tak perlu panik seperti negara lain, simpanan bekalan makanan Malaysia mencukupi – Ahmad Zahid

farahmarshita@bh.com.my

Kuala Lumpur: Bekalan makanan, air minuman dan barangan keperluan asas negara mencukupi untuk tempoh enam bulan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, kerajaan berpandangan tiada keperluan untuk mengeluarkan panduan menggalakkan rakyat menyimpan bekalan makanan, air minuman dan barangan keperluan asas bagi menghadapi kemungkinan kecemasan.

Katanya, tahap keterjaminan makanan negara dan kapasiti simpanan stok bekalan asas masih mencukupi.

“Negara mempunyai kapasiti simpanan bekalan makanan sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan.

“Kerajaan juga sudah berusaha memastikan keperluan asas rakyat serta mereka yang berada di Malaysia, sentiasa mencukupi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Kerjasama Malaysia-China Dalam Pelaburan, Perdagangan Dan Pemerkasaan Ekonomi, di sini, hari ini.

Tambahnya, Malaysia ketika ini tidak berada dalam keadaan darurat dari segi bekalan makanan dan barangan keperluan asas, malah dijangka kekal jauh daripada situasi berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 33 negara di seluruh dunia dikenal pasti mengeluarkan panduan menggalakkan rakyat menyimpan bekalan makanan, air minuman dan barangan keperluan asas bagi menghadapi kemungkinan kecemasan.

Menurut laporan media antarabangsa, langkah tersebut diambil ketika dunia berdepan pelbagai ancaman termasuk peperangan, cuaca ekstrem, gangguan bekalan elektrik dan serangan siber.

Antara negara yang memperkukuh kempen kesiapsiagaan ialah Perancis dan United Kingdom yang menyarankan penduduk menyediakan bekalan mencukupi untuk sekurang-kurangnya 72 jam atau tiga hari.

Kerajaan wilayah Normandy, Perancis turut mengingatkan penduduk supaya tidak menunggu sehingga kecemasan berlaku sebelum membuat persediaan.

Kanada, Jepun, Mexico dan Belanda turut menyarankan simpanan bekalan untuk tempoh tiga hari, manakala Sweden serta Norway menggalakkan persediaan mencukupi selama seminggu.

Jerman pula mengesyorkan bekalan sehingga 10 hari bagi membolehkan isi rumah mengurus keperluan asas sekiranya bantuan atau perkhidmatan penting terganggu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top