KDN belum bincang pengganti Mohd Shuhaily

KDN belum bincang pengganti Mohd Shuhaily

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Kementerian Dalam Negeri (KDN) belum membincangkan pelantikan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang baharu susulan keputusan mengembalikan penyandangnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu masih belum dibincangkan di peringkat kementerian

“Belum, kita belum bincang,” katanya ringkas ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di Dewan Insaniah, Kompleks Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Mergong, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Mengulas status perkhidmatan Mohd Shuhaily, beliau berkata, perkara itu perlu diuruskan mengikut aturan perkhidmatan awam susulan pertuduhan yang dikenakan terhadap pegawai terbabit.

“Dari segi penjawat awam, apabila seseorang dikenakan pertuduhan, ada sistem dan aturan yang perlu diuruskan oleh bahagian perkhidmatan awam,” katanya.

Sebelum ini, KDN mengambil keputusan mengembalikan Mohd Shuhaily yang berkhidmat secara pinjaman kader sebagai Ketua Pengarah AKPS kepada PDRM.

Bagaimanapun, menerusi hantaran di Facebook rasmi AKPS pagi tadi, Mohd Shuhaily dilihat kembali menjalankan tugas selepas bercuti minggu lalu, termasuk mempengerusikan Mesyuarat Commander’s Call Bil 3/2026.

Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily, 54, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada 28 September lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top