Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu tampil menjelaskan isu pemotongan berat padi di kilang yang menjadi antara rungutan dalam kalangan pesawah sehingga menimbulkan persoalan mengenai jumlah sebenar hasil tuaian mereka.
Menurut beliau, pemotongan tersebut bukan dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya mengambil kira beberapa faktor bagi menentukan berat bersih padi sebelum pembayaran subsidi dibuat kepada pesawah.

Katanya, antara aspek yang dinilai termasuk kandungan air, keadaan padi yang rosak atau belum matang serta kehadiran bendasing seperti batang padi.
“Padi ini, kerajaan membayar subsidi RM500 berdasarkan harga berat bersih.
“Kadang-kadang bila padi diambil daripada sawah, dibawa ke kilang, dan dia dilihat beberapa perkara.
“Lagipun kalau dia ambil padi itu dalam keadaan basah, maksudnya baru hujan begitu, padi itu tentulah berat.
“Kemudian, padi rosak. Padi rosak ini padi yang isinya banyak kali tidak penuh. Padi muda, contohnya padi belum cukup masak, dia dah tuai. Kemudian, benda asing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu OMM Podcast yang membincangkan pelbagai isu berkaitan kebajikan pesawah, bantuan kerajaan serta cabaran industri padi dan beras negara.

Mengulas lanjut, Mohamad atau mesra dengan panggilan Mat Sabu menjelaskan bahawa jumlah pemotongan boleh berbeza mengikut keadaan padi yang dihantar ke kilang, termasuk kemungkinan berlaku pengurangan sehingga 20 kilogram.
“Kalau misalnya 180 kilogram, dikira-kira dia potong 15 kilogram. Kadang-kadang sampai 20 kilogram.
“Sebab dia nak beri subsidi berdasarkan berat bersih. Ini yang dikatakan yang dipotong itu,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pihak kementerian tidak akan berkompromi sekiranya terdapat unsur penipuan dalam proses pemotongan berkenaan.

Jelasnya, pesawah yang merasakan potongan dibuat secara tidak munasabah boleh mengemukakan aduan supaya pemeriksaan dan penilaian lanjut dapat dijalankan oleh pegawai bertanggungjawab.
“Kalau ada penipuan, pihak kementerian akan bertindak. Jadi kita kena adil antara aduan yang tak betul dengan aduan yang betul-betul dibuat oleh para pesawah.
“Kalau aduan yang dibuat oleh para pesawah, dia jual, dia kenapa dipotong tak betul, kita memang akan simpati dan bertindak dengan aduan-aduan itu,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Mat Sabu turut berkongsi pengalaman keluarganya yang pernah bergantung kepada seorang pengusaha kilang padi dikenali sebagai Ah Kau bagi mendapatkan barangan keperluan harian secara hutang sementara menunggu musim menuai.
Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan bapanya terpaksa menjual hasil padi kepada pengusaha berkenaan meskipun terdapat pembeli lain yang menawarkan harga lebih tinggi.
“Ayah saya terpaksa menjual kepada Ah Kau kerana Ah Kau memberi pinjaman kepada kami barang makanan, gula, teh, beli belacan dan semuanya itu selama enam bulan.
“Jadi kalaulah tempat Ah Kau ini katalah RM20 sepikul, contohlah. Tempat lain RM22, kerana saya kena jual kepada Ah Kau tadi.
“Sebab kita dah berhutang dengan beliau,” katanya.
Sementara itu, menyentuh isu kelewatan bekalan baja kerajaan, Mat Sabu mengakui terdapat kelewatan membabitkan baja ketiga susulan masalah yang timbul selepas proses tender dilaksanakan.

Beliau menjelaskan bahawa tindakan telah diambil termasuk mendapatkan pembatalan kontrak pembekal sebelum urusan pembekalan diambil alih oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bersama anak syarikatnya.
“Baja tahun ini bukan lewat kesemua, baja tiga yang lewat itu. Kelewatan itu kerana kita melalui tender.
“Selepas tender diperoleh dan diberi kepada syarikat-syarikat yang layak, didapati selepas itu ada rungutan daripada para petani agak kelewatan.
“Dan bajanya pula katanya tidak bermutu,” ujarnya lagi.
Mat Sabu turut memaklumkan bahawa hasil tuaian di kebanyakan kawasan yang dinilai menunjukkan peningkatan meskipun berlaku sedikit kelewatan bekalan baja.
Beliau menegaskan kerajaan akan terus meneliti setiap aduan pesawah secara adil, selain memastikan bantuan dan insentif yang disediakan dapat membantu golongan tersebut meneruskan aktiviti penanaman padi demi menjamin bekalan makanan negara.




