am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: Empat individu berdepan detik cemas selepas terperangkap di dalam sebuah kilang akibat banjir di Jalan Titanium, Taman Industri Batu 22, Ijok di sini, hari ini.
Bagaimanapun, semua mangsa berjaya diselamatkan anggota bomba.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.39 petang sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikerahkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, didapati terdapat empat mangsa terperangkap di dalam kilang berkenaan.
“Komander Operasi mengarahkan anggota bertugas membawa keluar semua mangsa yang terperangkap,” katanya menerusi kenyataan.
Ashrul Riezal berkata, mangsa dibawa keluar dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda Unit Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).
“Kedalaman air di lokasi dianggarkan satu meter.
“Selepas operasi menyelamat selesai, anggota bomba bersama jentera meneruskan pemantauan keadaan banjir di kawasan Saujana Aman,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




