London: Mikel Arteta menyifatkan pemain Arsenal menikmati misi memburu kemenangan di Anfield selepas menamatkan penantian 14 tahun untuk menewaskan Liverpool di gelanggang keramat itu menerusi kemenangan 1-0, awal pagi tadi.
Jaringan Kai Havertz pada minit ke-16 sudah cukup untuk memastikan kemenangan tipis The Gunners dalam aksi sengit itu, sekali gus melebarkan jurang kepada tiga mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) mengatasi Manchester City.
Liverpool memberikan tekanan hebat selepas ketinggalan, namun Arsenal mempamerkan aksi lebih terkawal pada babak kedua untuk mengekang asakan tuan rumah.
Skuad The Reds menamatkan perlawanan tanpa sebarang percubaan tepat ke sasaran buat kali pertama dalam aksi di laman sendiri sepanjang sejarah EPL.
Arteta berkata, pemainnya menikmati cabaran untuk memecahkan rekod buruk di Anfield, yang sebelum ini menyaksikan Arsenal tewas lapan daripada 13 perlawanan terakhir liga di situ.
“Mereka benar-benar menikmati misi ini. Misi yang gagal kami capai selama 14 tahun dan ada sebab di sebaliknya.
“Ada antaranya berkaitan psikologi, manakala sebahagian lagi berpunca daripada kualiti permainan, detik tertentu atau keputusan yang dibuat.
“Kami tahu perlu melakukan semuanya dengan sempurna. Kami juga perlu bersedia menghadapi tempoh sukar kerana Liverpool sangat bagus dalam melancarkan serangan pantas dan mencetuskan kekacauan walaupun daripada situasi yang kelihatan tidak berbahaya.
“Anda perlu menikmati keadaan itu. Jika tidak, mereka akan menghukum anda. Cara kami bersaing, bermain dan mencipta peluang amat mengagumkan. Saya sangat gembira,” katanya.
Arsenal bangkit daripada kekecewaan tersingkir daripada Piala Liga kepada pasukan Divisyen Dua, Fleetwood Town, pada pertengahan minggu untuk meneruskan kempen cemerlang dalam EPL dengan lapan kemenangan daripada sembilan perlawanan.
Arteta berkata, kemenangan itu amat bermakna selepas pasukannya berdepan kritikan susulan kekalahan kepada Liverpool sebelum ini.
“Kami amat bangga dengan apa yang dilakukan pasukan dan pemain, terutama dengan keadaan ketika kami tiba di perlawanan ini. Selepas kekalahan kepada Liverpool, semuanya seolah-olah sudah berakhir.
“Namun, anda perlu bangkit dan memahami bahawa inilah keindahan bola sepak. Ia boleh membawa anda ke situasi yang sangat sukar, tetapi empat hari kemudian, anda berpeluang mencipta sesuatu yang bersejarah dan kami berjaya melakukannya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




