SPIELBERG, Austria: Max Verstappen mengukuhkan kedudukan dalam kejuaraan pemandu Formula Satu (F1) dengan memenangi Grand Prix Styria dan pencabar terdekatnya Lewis Hamilton di tempat kedua.
Pemandu Belanda itu bermula dari petak utama dan mendahului perlumbaan dengan jentera Red Bull sehingga tamat – 35 saat di depan juara bertahan dari Mercedes itu.
Seorang lagi pemandu Mercedes, Valtteri Bottas dari Finland di tempat ketiga dan Sergio Perez dari Red Bull keempat.
Ini adalah kali ketiga musim ini Verstappen memenangi perlumbaan dengan mendahului dari petak utama sehingga tamat, dan mengatasi Hamilton dengan jurang 18 mata dalam kejuaraan pemandu.
Red Bull yang ditaja syarikat dari Austria turut melebarkan jurang dalam kejuaraan pengeluar.
“Sukar dipercayai. Jentera amat menakjubkan. Satu lagi kemenangan di laman sendiri amat melegakan,” kata Verstappen.
Hamilton meluahkan kekecewaannya sepanjang perlumbaan di atas kegagalannya mengejar Verstappen kerana jentera Mercedes dipandunya tidak cukup pantas berbanding Red Bull, walaupun dia berjaya merakam pusingan terpantas.
“Perlumbaan agak sunyi. Saya cuba mengejar tetapi kelajuan mereka – jelas mereka melakukan perubahan besar. Mustahil untuk mengejar,” kata Hamilton. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd