Polis terima enam laporan berkaitan PRN Melaka termasuk khianat bahan kempen

Polis terima enam laporan berkaitan PRN Melaka termasuk khianat bahan kempen

am@hmetro.com.my

Melaka: Polis menerima enam laporan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, termasuk empat membabitkan kerosakan dan kehilangan bahan kempen parti politik, sejak semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, laporan berkenaan membabitkan kejadian bendera kempen dipatahkan, dicabut, dikoyakkan, dibakar dan dimusnahkan di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, antara laporan diterima semalam ialah kehilangan dan kerosakan 22 helai bendera kempen di DUN Ayer Keroh dan kira-kira 150 batang bendera Pakatan Harapan (PH) di DUN Rumbia dipercayai dipatahkan.

“Selain itu, polis turut menerima laporan berhubung dakwaan bendera PH dicabut di DUN Ayer Limau serta bahan kempen Parti BERSAMA di DUN Paya Rumput yang didakwa dirosakkan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya, polis turut menerima laporan berhubung kenyataan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook, berkaitan isu pendedahan minit pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

“Satu lagi laporan diterima di Jasin berhubung dakwaan pengagihan bakul makanan dan wang tunai dianggarkan RM50 sempena Deepavali di Kompleks JAPERUN Rim.

“Kejadian turut dikaitkan dengan kehadiran wakil calon Barisan Nasional (BN) dan kes disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Dzulkhairi berkata, siasatan sedang giat dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka bagi mengenal pasti individu yang terbabit.

“Tiada maklumat lanjut dapat diberikan buat masa ini memandangkan kes masih dalam siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya bertenang, bertindak mengikut lunas undang-undang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden yang dilaporkan,” katanya sambil menegaskan perkembangan siasatan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, media melaporkan calon Parti BERSAMA bagi DUN Paya Rumput, Abdul Rashid Abu Bakar mendakwa bahan kempen partinya dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab, termasuk dibakar.

Beliau mendakwa kejadian itu disedari petugas pilihan raya parti berkenaan antara jam 4 pagi hingga 7 pagi semalam.

Tinjauan berhampiran jambatan Jalan Bukit Rambai mendapati beberapa tiang bendera dipatahkan, selain satu bendera dibakar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top