OPR dijangka naik kepada 3.00 peratus tahun depan

OPR dijangka naik kepada 3.00 peratus tahun depan

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kadar Dasar Semalaman (OPR) berkemungkinan meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus tahun depan sekiranya tekanan inflasi semakin meluas dan berterusan, selain didorong pertumbuhan gaji serta peningkatan perbelanjaan isi rumah.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Iqbal Mohd Noor berkata, kemungkinan kenaikan OPR adalah tinggi, namun waktu pelaksanaannya belum dapat dipastikan.

Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) akan membuat penilaian berdasarkan data ekonomi sebenar dan prospek inflasi sebelum memutuskan sebarang perubahan terhadap kadar berkenaan.

“Ramalan menunjukkan inflasi teras dijangka meningkat kepada 2.5 peratus pada suku ketiga 2027 berbanding paras semasa iaitu 1.7 peratus, namun keadaan ketika ini belum menunjukkan keperluan mendesak untuk menaikkan OPR.

“Kenaikan lebih berkemungkinan berlaku sekiranya tekanan harga menjadi semakin meluas dan berterusan, disokong pertumbuhan gaji serta peningkatan perbelanjaan isi rumah,” katanya kepada Bisnes Metro.

Mengulas kesan terhadap ekonomi domestik, beliau berkata, kenaikan OPR akan meningkatkan kos pembiayaan bagi pinjaman berkadar terapung, sekali gus menyebabkan bayaran ansuran lebih tinggi dan mengurangkan baki pendapatan boleh guna isi rumah.

Keadaan berkenaan seterusnya akan mengecilkan ruang perbelanjaan pengguna manakala bagi perniagaan, peningkatan kos pembiayaan boleh memberi tekanan kepada perusahaan kecil yang mempunyai margin keuntungan rendah.

Beliau berkata, keadaan berkenaan berpotensi mengehadkan perbelanjaan operasi dan pelaburan perniagaan serta memperlahankan momentum pertumbuhan ekonomi.

“Bagaimanapun, pelarasan sebanyak 25 mata asas masih boleh diserap sekiranya ekonomi negara kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan pendapatan dan jualan yang kukuh.

“Kesan kenaikan itu hanya menjadi lebih ketara sekiranya pendapatan isi rumah dan jualan perniagaan berada dalam keadaan lemah ketika pelarasan dilaksanakan,” katanya.

Menurutnya, justifikasi kenaikan OPR lebih kukuh sekiranya kenaikan harga didorong peningkatan permintaan dengan BNM perlu menimbang risiko inflasi berterusan berbanding kesan peningkatan kos pembiayaan terhadap peminjam, pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.

Menyentuh persediaan pengguna, beliau berkata, isi rumah yang mempunyai pinjaman perumahan atau pembiayaan berkadar terapung perlu bersedia menghadapi bayaran ansuran lebih tinggi sekiranya OPR meningkat, manakala kadar dan ansuran pinjaman berkadar tetap tidak berubah.

Pengguna juga disaran menyemak jenis kadar pinjaman, menilai kemampuan pembayaran sekiranya kadar meningkat dan menyediakan ruang dalam bajet bulanan.

Bagi peminjam sedia ada yang menjangkakan bayaran balik menjadi beban, mereka dinasihatkan berbincang dengan pihak bank lebih awal sebelum berlaku tunggakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top