Prachachat yakin Malaysia mampu tamatkan konflik Selatan Thailand

Prachachat yakin Malaysia mampu tamatkan konflik Selatan Thailand

PATTANI (THAILAND): Parti Prachachat yang sinonim de­ngan penduduk Melayu Islam di selatan Thailand yakin komitmen Malaysia di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu membantu menamatkan konflik bersenjata yang berlarutan lebih 22 tahun di wilayah berkenaan.

Presidennya, Thawee Sodsong berkata, Malaysia memainkan peranan penting sebagai fasilitator Proses Dialog Damai Selatan Thailand meskipun rundingan antara Kerajaan Thailand dengan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) belum mencapai kemajuan memberangsangkan.

Katanya, keyakinan itu turut didorong komitmen Kerajaan Malaysia untuk membantu mencari penyelesaian terhadap konflik yang membelenggu tiga wilayah selatan Thailand dan mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya yakin terhadap komitmen Kerajaan Malaysia di bawah Perdana Menteri (Datuk Seri) Anwar Ibrahim untuk membantu mencapai keamanan di kawasan tersebut.

“Berkenaan pelantikan fasilitator baharu Malaysia yang berlatarbelakangkan ketenteraan dan perisikan, mereka (Malaysia) mungkin telah mempertimbang kesesuaian dalam konteks Thailand,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Thawee yang juga Ahli Parlimen lantikan Parti Prachachat berkata, proses rundingan damai perlu diteruskan secara serius kerana terlalu banyak masa telah terbuang sepanjang dekad lalu tanpa penyelesaian tuntas.

Katanya, struktur rundingan yang lebih kukuh perlu diwujudkan menerusi sistem, peraturan dan norma yang tersusun serta dimaktubkan dalam undang-undang bagi memastikan kesinambungan proses berkenaan meskipun berlaku pertukaran kerajaan Thailand.

“Penyertaan masyarakat awam juga penting bagi memastikan proses rundingan tidak bergantung sepenuhnya kepada perubahan kepemimpinan politik.

“Tidak kira sama ada Perdana Menteri atau kerajaan berubah, struktur ini kekal berfungsi. Saya percaya rundingan menjadi positif kerana jika kita tidak berunding, kita akan sentiasa bergaduh,” katanya.

Sementara itu, Thawee yang juga bekas Menteri Kehakiman Thailand berkata, pendekatan menyelesaikan konflik perlu beralih daripada penekanan terhadap aspek keselamatan semata-mata kepada usaha membina perdamaian dengan mengambil kira pengalaman dan perspektif mangsa.

Katanya, ketika berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan, pendekatan terdahulu lebih mengutamakan keselamatan berbanding keamanan, sekali gus menunjukkan keper­luan mencari kaedah baharu untuk menangani konflik.

“Kami mempunyai peguam, anggota tentera dan pekerja pembangunan, tetapi kami ke­kurangan ‘pendamai’ di zon kon­flik,” katanya. – UTUSAN 

Scroll to Top