KUALA LUMPUR: Prosiding inkues berhubung kejadian tembakan di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November tahun lalu yang mengorbankan tiga lelaki bukan sengaja dilewatkan, sebaliknya penetapan tarikh prosiding tertakluk kepada proses pengurusan kes oleh pihak mahkamah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 20 Julai 2026 memutuskan supaya inkues diadakan selepas meneliti kertas siasatan dan keseluruhan keterangan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, keputusan itu dibuat selepas PDRM menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kejadian berkenaan termasuk meneliti keterangan yang diperoleh serta memenuhi arahan dan keperluan lanjut AGC.
Memuatkan artikel berkaitan…
“PDRM menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Melaka pada 11 Ogos lalu bagi mendapatkan tarikh prosiding inkues dan kini masih menunggu penetapan tarikh berkenaan.
“Sehubungan itu, penetapan tarikh prosiding adalah tertakluk kepada proses dan pengurusan kes oleh pihak mahkamah.
“Kerajaan ingin menegaskan prosiding inkues siasatan bukan sengaja dilewatkan, namun keputusan mengadakan inkues dibuat berdasarkan proses siasatan menyeluruh termasuk penelitian terhadap keterangan diperoleh serta pematuhan kepada arahan dan keperluan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen.
Beliau menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai jangkaan tarikh prosiding inkues kes tembakan di Durian Tunggal, Melaka bermula serta punca kelewatannya.
Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan PDRM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mahkamah dan AGC bagi pelaksanaan prosiding inkues itu.
Katanya, kerajaan menghormati kebebasan proses kehakiman dan tidak akan mendahului sebarang dapatan mahkamah.
“Prosiding inkues ini penting bagi memastikan punca serta keadaan sebenar kematian dapat ditentukan melalui proses yang telus, adil dan berlandaskan undang-undang.
“Prosiding inkues berkenaan akan dijalankan mengikut Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593),” katanya.
Pada 24 November tahun lalu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa menghayunkan parang ke arah seorang koperal polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, kira-kira pukul 4 pagi.
Kejadian itu turut menyebabkan anggota polis berusia awal 30-an berkenaan parah pada tangan kiri. -UTUSAN




