Popular di media sosial belum tentu menang! Helmy serah pada penilaian pengundi

Popular di media sosial belum tentu menang! Helmy serah pada penilaian pengundi

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem menegaskan tawaran yang dikemukakan kepada rakyat menerusi manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu berpaksikan kemampuan sebenar kerajaan untuk melaksanakannya.

Menurut laporan Malaysia Gazette, beliau berkata, manifesto bukan sekadar medan untuk menjanjikan pelbagai perkara bagi menarik sokongan pengundi, sebaliknya perlu mengambil kira kemampuan dan sumber yang ada supaya setiap tawaran dapat direalisasikan sekiranya BN diberikan mandat.

“Kita mahu menawarkan sesuatu yang boleh dilaksanakan. Memang mudah untuk berjanji macam-macam, tetapi akhirnya kita perlu melihat sama ada janji itu mampu ditunaikan berdasarkan kemampuan yang ada,” katanya.

Foto arkib: FB Mohd Noor Helmy

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan walkabout di Bukit Serindit, Duyong pada Isnin bagi menyantuni penduduk setempat termasuk warga emas.

Mohd Noor Helmy berkata, manifesto BN bagi masa depan Melaka dijangka dibentangkan dalam tempoh terdekat dengan memberi tumpuan kepada tawaran yang realistik serta membawa manfaat kepada rakyat.

Mengulas mengenai peluang kemenangan susulan popularitinya yang agak luar biasa di media sosial, beliau bagaimanapun berpandangan pengaruh dalam talian tidak semestinya menjamin sokongan ketika hari pengundian.

Katanya, keputusan sebenar tetap bergantung kepada penilaian rakyat terhadap seseorang calon dan bukannya jumlah pengikut atau tahap populariti di platform media sosial.

“Populariti di media sosial bukan segala-galanya. Yang penting, rakyat sendiri yang menilai kita dan menentukan pilihan mereka ketika mengundi,” ujarnya.

Foto arkib: FB Mohd Noor Helmy

Dalam pada itu, beliau berkata pendekatan mendekati penduduk secara bersemuka terus menjadi antara keutamaan sepanjang tempoh berkempen termasuk mengunjungi semula kawasan yang pernah diziarahi sebelum ini.

Tambahnya, masih terdapat rumah penduduk yang belum sempat dikunjungi dan usaha itu akan diteruskan bagi memberi ruang kepada beliau mendengar sendiri pandangan serta keperluan masyarakat setempat.

“Banyak tempat yang kita sudah pergi sebelum ini dan ada juga kawasan yang kita belum masuk. Jadi, kita cuba sampai ke rumah-rumah penduduk dan menyantuni mereka,” kata beliau.

Sumber: Malaysia Gazette (Kasthuri Jeevendran)

Scroll to Top