am@hmetro.com.my
Permaisuri: Pasangan suami isteri yang kini pengusaha ladang nanas adalah antara graduan bakal menerima ijazah doktor falsafah (PhD) sempena Majlis Konvokesyen ke-9 Universiti Kolej Bestari (UCB), pada Sabtu depan.
Dr Ahmad Suhaily Mohd Salleh yang juga bekas pensyarah UCB memilih bersara awal bagi mengusahakan ladang nanas di Kampung Putera Jaya dengan dibantu isterinya, Dr Nor Azlina Sulaiman, yang kini pegawai tadbir di UCB.
Naib Canselor UCB, Prof Madya Dr Mustapha Ismail, berkata seramai 383 graduan akan menerima ijazah dan diploma dalam pelbagai bidang pada majlis konvokesyen yang diadakan di sebuah hotel di Gong Badak.
Beliau berkata, pada majlis itu, turut menerima PhD adalah 18 pelajar antarabangsa termasuk 12 dari Thailand dan dua dari Indonesia serta empat pelajar tempatan.
“Seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Ekonomi, Nor Shyawaldah Darliena Nazrrol pula bakal menerima anugerah graduan terbaik yang turut menerima Anugerah Pingat Emas (LPU).
“Tiga lagi graduan iaitu Nur Amalin Ghazali, Nurin Thaqifa Zaidi dan Nur Alia Umairah Mazuki yang juga pelajar kategori orang kurang upaya (OKU) akan menerima anugerah graduan terbaik,” katanya yang mewakili Pengerusi Lembaga Pengelola UCB, Prof Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor, pada sidang media di sini, hari ini.
Mustapha berkata, UCB yang dinaik taraf daripada Kolej Teknologi Bestari (KTB) pada 2012 ditubuhkan bagi membantu anak Melayu daripada keluarga kurang berkemampuan, golongan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), anak yatim dan pelajar luar bandar mengikuti pengajian dengan bayaran yuran tidak membebankan.
Katanya, UCB sebagai universiti wakaf akan terus komited menyediakan akses pendidikan tinggi yang berkualiti dan melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran serta berdaya saing bertepatan dengan institusi pendidikan berteraskan wakaf.
“UCB memberi penekanan kepada pembangunan insan, kecemerlangan akademik dan kesejahteraan rakyat.
“Majlis konvokesyen ini adalah wadah pengiktirafan komitmen dan ketekunan graduan sebagai penghargaan sokongan kepada ibu bapa, penjaga serta pensyarah dan seluruh warga pendidik yang menyumbang kepada kejayaan pelajar,” katanya.
Mustapha berkata, UCB juga menjadi universiti pertama di negara ini yang membantu pelajar kurang berkemampuan dengan mengenakan bayaran makan tengahari dan malam sebanyak RM1.
© New Straits Times Press (M) Bhd




