Jakarta: Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, berdepan desakan baru supaya meletak jawatan kerana isu berkaitan kelayakan pendidikannya.
Ia menyusuli keputusan Mahkamah Agung membatalkan sijil pengiktirafan kelayakan pendidikan luar negara yang digunakannya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2024.
Keputusan itu mencetuskan persoalan mengenai kesahihan kedudukan Gibran sebagai Naib Presiden.
Malah, beberapa ahli Parlimen dan pakar undang-undang berpendapat beliau tidak memenuhi syarat pendidikan minimum yang ditetapkan bagi calon jawatan itu.
Mahkamah Agung pada 30 Oktober menerima rayuan peguam Subhan Palal dan membatalkan keputusan dua mahkamah pentadbiran terdahulu yang menolak saman berhubung kesahihan sijil pengiktirafan pendidikan Gibran.
Sijil berkenaan dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Indonesia pada 2019 bagi mengiktiraf pendidikan luar negara Gibran sebagai setaraf kelulusan sekolah menengah atas di Indonesia.
Dokumen itu kemudian dikemukakan kepada pihak berkuasa pilihan raya ketika beliau mendaftar sebagai calon Naib Presiden bergandingan dengan Presiden Prabowo Subianto pada 2024.
Gibran, anak sulung bekas Presiden Joko Widodo, pernah belajar di Sekolah Menengah Orchid Park Secondary School di Singapura dan UTS Insearch di Australia sebelum memperoleh ijazah sarjana muda daripada Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS).
Panel Mahkamah Agung yang dipengerusikan Hakim Yulius, bersama Hakim Maftuh Effendi dan Hakim Hari Sugiharto, menerima sepenuhnya tuntutan yang dikemukakan Subhan.
Keputusan itu membatalkan pengiktirafan pendidikan berkenaan, sekali gus membuka semula perdebatan mengenai kelayakan Gibran untuk memegang jawatan kedua tertinggi Indonesia.
Sebarang tindakan pemecatan perlu melalui proses yang ditetapkan dalam Perlembagaan Indonesia.
Subhan berpendapat jawatan Naib Presiden sepatutnya diisytiharkan kosong susulan keputusan mahkamah.
“Presiden perlu segera mencadangkan dua calon kepada Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), yang kemudian akan memilih seorang daripadanya sebagai Naib Presiden baru,” katanya kepada The Jakarta Post.
Desakan itu turut disokong bekas Timbalan Menteri Undang-Undang, Denny Indrayana, yang menggesa Gibran berundur atas alasan perlembagaan dan moral.
Menurutnya, keputusan Mahkamah Agung dan Mahkamah Perlembagaan menunjukkan wujud persoalan serius mengenai pematuhan syarat pendidikan calon Naib Presiden dalam pilihan raya lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




