Insiden dua kali jatuh atas pentas, Haida bengkak saraf

Insiden dua kali jatuh atas pentas, Haida bengkak saraf

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: ​”Sudah lama saya tak menyanyi, keluar-keluar menyanyi semula, ha dua kali jatuh,” kata penyanyi Haida Hasnan sambil ketawa.

Haida, 48, mengulas insiden dirinya terjatuh sebanyak dua kali di atas pentas ketika menjayakan program Hits Nostalgia Volume 3 anjuran usahawan Syahmi Sazli di Jengka, Pahang, Ahad lalu.

Video kejadian terbabit tular apabila dikongsi ramai pelayar media sosial TikTok dan Facebook.

Pelantun lagu Hajat itu berkata, dia sebenarnya terjatuh di tempat yang sama apabila kakinya tersadung pada platform penyambung pentas.

“Aduhai… tapi apa-apa pun penonton sangat supportive. Sebenarnya masa mula-mula nak menyanyi lagu itu saya sebak. Sedih jadinya bila saya mula menyanyi, peminat pun ramai-ramai menyanyi.

“Rasa memang nak menangis, tapi saya tahan. Tiba-tiba boleh pula terjatuh. Sekali lagi jatuh pula, part yang klimaks, yang last. Part last itu saya nak buat macam nak ajak peminat menyanyi ramai-ramai.

“Jadi saya nak ‘shootlah’ menyanyi dekat yang part last itu… tidak semua cinta bersatu’. Cadangnya saya nak bagi ‘high note’ (nada tinggi). Sekali berdebuk… saya jatuh lagi,” katanya kepada Harian Metro sambil ketawa.

Haida bagaimanapun bersyukur tidak mengalami kecederaan, namun hanya berdepan masalah bengkak saraf.

“Bengkak sikit sajalah. Tak adalah teruk sangat sebab lepas turun pentas ada pasukan perubatan. Mereka letak ais dan balut sikit. Kemudian Zamani Slam berikan spray untuk sembur bahagian itu.

“Dia memang sediakan spray untuk sembur tulang belakangnya. Dia pun spray dekat kaki saya. Ia buat saya jadi kebas dan tak adalah rasa sakit sangat.

“Tapi beberapa hari ini mulalah sakit-sakit badan. Sebab jatuh itu terkejut kan? Sakitlah sikit sampai pinggang,” katanya yang kali terakhir tampil di pentas besar menerusi Gegar Vaganza 9 pada 2022.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top