Pesara guru rugi lebih RM500,000 diperdaya pelaburan tidak wujud

Pesara guru rugi lebih RM500,000 diperdaya pelaburan tidak wujud

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pesara guru berusia 67 tahun mengalami kerugian RM521,787 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan keuntungan sehingga 50 peratus daripada modal dilaburkan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, mangsa tertarik dengan iklan pelaburan menggunakan nama SQUIA Capital di Facebook pada 16 September lalu.

Menurutnya, mangsa kemudiannya menghubungi individu yang menawarkan skim berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Katanya, mangsa dimaklumkan bahawa dia hanya perlu membuat pindahan wang ke akaun bank diberikan sebelum keuntungan dimasukkan terus ke akaun miliknya.

“Percaya dengan tawaran itu, mangsa melakukan 16 transaksi pindahan wang secara dalam talian membabitkan enam akaun bank berbeza antara 17 September hingga 29 Oktober lalu.

“Keseluruhan wang yang dipindahkan berjumlah RM521,787 dan ia adalah wang simpanan peribadi mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azrul Hisham berkata, siasatan mendapati mangsa diminta membuat bayaran atas pelbagai alasan termasuk modal pelaburan, pembukaan akaun pelaburan, tandatangan gentian dan wang cagaran seperti diarahkan individu terbabit.

Bagaimanapun, katanya, selepas semua bayaran dibuat, mangsa masih diminta membuat bayaran tambahan sebelum menyedari dirinya berkemungkinan menjadi mangsa penipuan.

“Mangsa kemudian enggan meneruskan pembayaran dan tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan, khususnya menerusi media sosial atau platform yang tidak diketahui kesahihannya.

Orang ramai juga diminta membuat semakan terlebih dulu dengan pihak berkuasa atau institusi kewangan berkaitan serta menggunakan portal Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi.

“Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan diminta menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dengan segera,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top