Shiha Zikir berdoa ibu kembali sihat sempena hari jadinya

Shiha Zikir berdoa ibu kembali sihat sempena hari jadinya

Shah Alam: Penyanyi Shiha Zikir yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-39, semalam amat sentiasa berdoa agar keadaan kesihatan ibunya, Rohana Ibrahim, 68, semakin baik.

Shiha berkata, doa itu menjadi harapan terbesarnya yang sentiasa dipanjatkan sejak kesihatan ibunya mula merosot pada September lalu.

“Saya sebenarnya agak sentimental. Setiap kali orang bertanya atau menitipkan doa menerusi mesej peribadi (DM), saya selalu menyatakan perkara sama, hanya mengharapkan kesihatan ibu kembali seperti sedia kala.

“Saya cuma berharap tahun ini mak saya sihat seperti biasa. Itulah satu-satunya harapan saya untuk tahun ini,” katanya.

Shiha berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single dan muzik video lagu Teruskanlah nyanyian artis di bawah naungan syarikat rakamannya, Shiha Zikir Empire iaitu Hazreen Amreena, di sini, hari ini.

Penyanyi lagu Kalam itu turut berdoa agar dirinya juga menjadi seorang anak yang mampu membahagiakan orang tua, selain dapat terus berpeluang menjaga insan tersayang itu.

“Saya berdoa kepada Allah supaya menjadikan saya seorang anak dan manusia yang mampu menggembirakan orang lain, selain dapat menjaga mak sampai bila-bila.

“Jadi, saya sangat berharap mereka dapat selitkan doa buat mak saya supaya kembali sihat seperti biasa. Mak adalah sumber kekuatan utama saya,” katanya.

Mengimbas detik mengetahui keadaan kesihatan ibunya, Shiha mengakui berita yang disampaikan doktor memberi kesan kepada dirinya dan adik-beradik lain

“Apabila doktor maklumkan mengenai penyakit mak, memang saya langsung tidak menyangka perkara itu boleh berlaku kepadanya. Situasi ini benar-benar menguji kekuatan mental kami sekeluarga.

“Saya dan adik-beradik memang sangat terkesan. Namun, saya percaya anak-anak dan mak saling menjadi sumber kekuatan antara satu sama lain.

“Mak kuat kerana anak-anak, manakala saya pula kuat kerana mak,” kata Shiha yang enggan memperincikan penyakit dialami ibunya.

Dalam pada itu, Shiha menyifatkan sikap positif ibunya menjadi antara faktor yang membantunya terus kuat berdepan situasi sukar ketika ini.

“Kalau saya boleh jadi seperti sekarang, semuanya kerana mak seorang yang sangat positif.

“Kalau orang tahu keadaan sebenar, mungkin mereka akan terkejut melihat bagaimana mak mampu kekal positif dan kelihatan tenang.

“Saya sendiri tidak tahu, tetapi apa yang pasti, untuk hari jadi tahun ini, saya hanya mahu mak kembali sihat seperti biasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top