Laluan jambatan Paya Jaras mendap, pengguna jalan raya terjejas

Laluan jambatan Paya Jaras mendap, pengguna jalan raya terjejas

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebahagian laluan berhampiran jambatan di Jalan Gajah 16 menghala ke Paya Jaras, Selangor, dilaporkan mengalami kerosakan dan mendap susulan hujan lebat awal pagi tadi.

Kejadian itu mendapat perhatian pengguna media sosial selepas rakaman video menunjukkan permukaan jalan merekah dan sebahagiannya mendap sehingga menimbulkan risiko kepada pengguna jalan raya.

Menerusi hantaran di Threads, pengguna akaun @sabrinarzk__ mendakwa jambatan selepas kawasan Jalan Gajah 16 yang menghubungkan laluan ke Paya Jaras, mengalami kerosakan sehingga tidak dapat dilalui.

Menurut hantaran itu, penduduk Paya Jaras yang mahu menuju ke kawasan Kubu Gajah melalui Jalan Gajah 16, turut berdepan kesukaran menggunakan laluan berkenaan.

Rakaman video yang dikongsikan menunjukkan keretakan pada permukaan jalan serta bahagian tepi laluan yang mengalami kerosakan.

Bagaimanapun, keadaan sebenar struktur jambatan, tahap kerosakan dan status penutupan laluan masih belum mendapat pengesahan pihak berkuasa.

Kejadian itu dilaporkan ketika beberapa kawasan sekitar Shah Alam dan kawasan berhampiran dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sejak awal pagi.

Terdahulu, banjir kilat turut menyebabkan penutupan beberapa laluan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top