Dua tan al-Quran usang, rosak dimurnikan di laut Selat Melaka

Dua tan al-Quran usang, rosak dimurnikan di laut Selat Melaka

ISKANDAR PUTERI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi inisiatif pemurnian al-Quran melupuskan lebih dua tan bahan teks dan al-Quran usang, rosak, serta tidak mendapat perakuan rasmi dalam satu operasi khas di perairan Selat Melaka, di sini hari ini.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Ismainur Hadi Amat Bakeron berkata, semua bahan tersebut adalah hasil kutipan dan serahan orang ramai bagi tempoh Januari hingga September lalu.

“Biarpun proses fizikal lazimnya dirujuk sebagai pelupusan, istilah ‘pemurniaan’ dipilih bagi mengangkat martabat kalam suci itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita dapati kesedaran masyarakat semakin meningkat tentang perlunya al-Quran yang telah usang, rosak, atau tidak dapat dibaca diserahkan kepada pihak berkuasa seperti KDN dan jabatan agama negeri untuk dimurnikan,” katanya selepas Program Pemurniaan al-Quran di Perairan Selat Melaka, di sini hari ini.

Program kolaborasi itu turut disertai Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Dr. Nooh Gadut, bersama Jabatan Imigresen Johor dan Jabatan Laut Johor.

Menjelaskan butiran lanjut mengenai prosedur operasi standard (SOP) pemurniaan, Ismainur Hadi berkata, bahan-bahan terbabit dihantar ke sebuah syarikat pelupusan swasta untuk dibakar sepenuhnya terlebih dahulu di dalam kebuk relau khas selama semalaman.

Katanya, abu pembakaran kemudiannya direndam dan disejukkan selama kira-kira dua hari bagi membentuk jongkong abu yang kukuh dan mampat, sebelum dibawa menaiki kapal Jabatan Laut Malaysia untuk dilarutkan di tengah laut.

“Proses pemurnian ini bukan sahaja boleh dilakukan di laut, malah ia boleh dilaksanakan di sungai-sungai berarus deras, asalkan bahan abu tersebut larut dan hanyut,” katanya.

Mengulas mengenai sumber bahan tersebut, beliau memaklumkan bahawa majoritinya bukan daripada hasil rampasan penguatkuasaan, sebaliknya sumbangan orang ramai menerusi program Jom Exchange Al-Quran.

“Menerusi program berkenaan, orang ramai berpeluang menyerahkan naskhah al-Quran lama, rosak, atau lusuh untuk ditukar dengan naskhah baharu yang mendapat perakuan rasmi KDN, manakala naskhah lama dikumpul untuk dimurnikan.

“Sebelum ini, KDN telah melangsungkan program serupa di Tawau, Sabah, dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang melibatkan pelupusan lebih tiga tan bahan al-Quran.

“KDN merancang untuk memperluaskan siri jelajah pemurnian al-Quran ini ke seluruh negara bagi memastikan pengurusan teks suci dijalankan mengikut garis panduan agama dan perundangan yang ditetapkan,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top