PENGENDALI interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelaskan faktor ketiadaan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam senarai panggilan skuad kebangsaan bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang China dan Yemen pada bulan ini.
Menurut Cheng Hoe, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jadual perlawanan JDT yang padat sepanjang November selain memberi peluang kepada kelab berkenaan untuk memberikan tumpuan kepada komitmen mereka di pentas domestik dan Asia.
Katanya, JDT dijadualkan mengharungi empat perlawanan penting bulan ini termasuk saingan Liga Juara-Juara Asia, Piala Shopee serta aksi separuh akhir Piala FA.
“Pada bulan ini sahaja, JDT dijadualkan mengharungi empat perlawanan membabitkan beberapa tugasan penting pada saingan Liga Juara-Juara Asia, Piala Shopee serta aksi separuh akhir Piala FA.
“Selain memberi ruang kepada JDT menguruskan jadual pertandingan yang padat, saya juga mengambil kira kepentingan mereka untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada saingan di pentas Asia.
“Ini kerana JDT berpeluang untuk terus menambah pungutan mata Malaysia dalam Member Association (MA) Ranking yang akan memberi manfaat kepada kedudukan bola sepak negara di peringkat Asia,” katanya.
Harimau Malaya dijadualkan berdepan China pada 14 November sebelum bertemu Yemen pada 17 November, dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Guangdong, China.
Dalam pada itu, Cheng Hoe berkata, pemilihan pemain kali ini turut memberi penekanan kepada usaha membuka ruang kepada lebih ramai pemain untuk membuktikan kemampuan dan potensi masing-masing di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, dua muka baharu turut diberi peluang menyertai skuad kebangsaan bagi membolehkan barisan kejurulatihan menilai kualiti serta kesesuaian mereka dengan corak permainan pasukan.
“Bagi dua aksi persahabatan di China, saya mengambil pendekatan untuk memberikan peluang kepada pemain-pemain termasuk dua muka baharu menyertai skuad kebangsaan Harimau Malaya.
“Saya mahu melihat kemampuan, kualiti dan kesesuaian mereka untuk beraksi di peringkat antarabangsa, selain menilai sejauh mana mereka dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan serta kehendak pasukan.
“Ini juga merupakan peluang penting untuk kita memperluaskan pilihan pemain yang boleh dipertimbangkan bagi membentuk skuad kebangsaan yang lebih kompetitif pada masa akan datang,” katanya.



