STR Fasa Keempat mula dibayar hari ini

STR Fasa Keempat mula dibayar hari ini

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembayaran bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Keempat dibuat mulai hari ini.

Perdana Menteri berkata, pemberian bernilai RM1.1 bilion sempena sambutan Deepavali itu akan dinikmati lebih 5 juta rakyat, termasuk 630,000 penerima kaum India.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, jumlah bantuan disalurkan menerusi STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) merekodkan peningkatan kepada RM15 bilion tahun ini.

Selain itu, katanya, penyaluran STR dan SARA setakat ini sudah mencecah RM12 bilion dengan pembayaran STR Fasa 1 hingga 3 bernilai RM3.6 bilion.

“Kerajaan MADANI melipatgandakan peruntukan untuk bantuan tunai STR dan SARA kepada RM15 bilion tahun ini, dan dijangka meningkat kepada RM16 bilion tahun depan, berbanding hanya RM8 bilion pada 2022 dan RM6 bilion pada 2018.

“Dalam menaikkan lantai sebagai tonggak Ekonomi MADANI, kerajaan komited memperkukuh kesejahteraan untuk semua, tanpa mengira bangsa,” katanya selepas meninjau Mega Bazar Deepavali di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top