Lebih 1,000 koleksi jed menanti pengunjung

Lebih 1,000 koleksi jed menanti pengunjung

KUALA LUMPUR: Bukan sekadar perhiasan, batu jed atau jadeite turut memiliki nilai simbolik yang menjadikannya antara batu permata pilihan dalam kalangan penggemar koleksi eksklusif.

Menawarkan lebih 1,000 koleksi jed, Kayangan Kegembiraan menghimpunkan pelbagai warna, bentuk dan karakter batu permata itu bagi memenuhi cita rasa pelanggan yang mengutamakan keunikan.

Setiausaha syarikatnya, Aurora berkata, setiap jed mempunyai ciri tersendiri berdasarkan warna, kejernihan dan keistimewaan semula jadi yang mempengaruhi nilai serta daya tarikannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Warna yang berbeza membawa maksud yang berbeza, malah pelanggan boleh mendapatkan penerangan daripada kakitangan kami mengenai setiap koleksi serta makna di sebalik jed berkenaan.

“Perkongsian maklumat itu bertujuan membantu pelanggan memahami karakter jed dengan lebih mendalam, selain memberikan pengalaman memilih perhiasan yang lebih bermakna,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis meraikan lebih 40 tetamu, termasuk 21 Ratu Cantik Gaia yang turut memperagakan koleksi jed Kayangan Kegembiraan di Hotel Concorde Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Aurora, nilai jed bukan hanya bergantung pada penampilannya, sebaliknya turut ditentukan oleh kualiti batu permata itu, terutama dari segi kejernihan dan kandungan inklusi.

“Semakin jernih jed itu dan semakin kurang inklusi, semakin tinggi harganya,” katanya.

Selain nilai estetika, jed turut mempunyai makna tersendiri dalam kalangan penggemarnya yang mengaitkan batu permata itu dengan unsur perlindungan serta kesejahteraan.

“Kadangkala orang mengatakan jed boleh melindungi mereka kerana batu permata ini melambangkan perlindungan,” katanya.

Bagi pelanggan yang mencari gelang jed bersaiz lebih besar, Kayangan Kegembiraan turut menawarkan pilihan ukuran antara 60 hingga 65 yang agak sukar ditemukan di pasaran.

“Gelang jed bersaiz besar sukar ditemukan, tetapi kami menyediakan pilihan saiz 60 hingga 65.

“Tidak kira sama ada anda membeli atau tidak, kami sentiasa mengalu-alukan kedatangan anda untuk menikmati teh tarik bersama-sama,” katanya.

Lebih 1,000 koleksi jed menanti pengunjung
Audris (kiri) menyarungkan cincin jed ke jari Ratu Cantik Gaia.

Selain koleksi sedia ada, pelanggan yang menginginkan perhiasan mengikut cita rasa sendiri turut boleh mendapatkan perkhidmatan tempahan khas dengan reka bentuk yang boleh disesuaikan mengikut pilihan masing-masing.

Perkhidmatan itu turut disokong kepakaran ahli gemologi dalaman, Audris Kok yang bertindak sebagai perunding reka bentuk barang kemas di premis berkenaan.

Audris terbabit secara langsung dalam penilaian batu jed serta proses penghasilan barang kemas, sekali gus membantu pelanggan mengenali karakter batu permata itu sebelum menentukan reka bentuk pilihan.

Pengetahuan profesional dan ketelitian beliau menjadi nilai tambah kepada perkhidmatan tempahan khas, khususnya bagi pelanggan yang menginginkan perhiasan dengan rekaan tersendiri.

Terletak di tingkat satu Hotel Concorde Kuala Lumpur, Kayangan Kegembiraan merupakan cawangan pertama syarikat itu di Malaysia yang turut menyediakan ruang untuk pelanggan mendapatkan penerangan lanjut mengenai batu permata berkenaan.

Pelanggan juga boleh mengikuti akaun TikTok dan Instagram Kayangan Kegembiraan untuk mendapatkan maklumat mengenai jed serta koleksi terbaharu yang ditawarkan. – UTUSAN

Scroll to Top