Bintang & Doa, Sambar bawa kelainan dalam karya fiksyen K-LIT

Bintang & Doa, Sambar bawa kelainan dalam karya fiksyen K-LIT

SHAH ALAM – Dua novel terbaharu terbitan K-LIT di bawah Grup Buku Karangkraf (GBK) berjudul Bintang & Doa dan Sambar, antara karya fiksyen yang boleh diperoleh pada harga diskaun sehingga 20 peratus sempena Jualan Gudang Karangkraf 2026 dari 30 Oktober hingga 9 November ini.

Bintang & Doa hasil karya Asmah Hashim membawa kelainan menerusi penceritaan mengetengahkan misi kemanusiaan di Gaza, manakala Sambar nukilan Ariful Baqi menggabungkan elemen misteri dan pengetahuan mengenai burung enggang.

Editor Kanan Unit Novel GBK, Mazuen Yahaya berkata, novel Bintang & Doa mengisahkan seorang jurutera aeroangkasa bernama Alya yang bekerja di Munich, Jerman dan menghasilkan dron sebelum mengetahui ciptaannya digunakan untuk menyerang rakyat Gaza.

Menurutnya, perkara itu menyebabkan Alya berasa bersalah dan mengambil keputusan meninggalkan kerjaya serta menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.

“Dia menggunakan kepakaran menghasilkan dron dengan bahan-bahan tempatan untuk menghantar bekalan makanan kepada penduduk di kem-kem yang memerlukan bantuan.

“Pada mulanya, dron yang dihasilkan tidak berjaya berfungsi seperti diharapkan, namun selepas beberapa percubaan, dia berjaya menggunakan kepakaran untuk tujuan yang lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Tambahnya lagi, keistimewaan novel berkenaan terletak pada gabungan elemen kerjaya, teknologi aeroangkasa dan misi kemanusiaan yang jarang diketengahkan dalam karya terbitan mereka sebelum ini.

Sementara itu, Editor Unit Novel GBK, Nur Khairunnisa Halim berkata, Sambar pula mengisahkan Dr Zarif, seorang pakar ornitologi yang datang ke Kampung Kencang untuk menjalankan kajian mengenai burung enggang sebelum berdepan beberapa kejadian luar jangka.

Menurutnya, watak utama itu bukan sahaja menjadi sasaran pembunuh upahan, malah terserempak dengan manusia berkepala burung sebelum menemui mayat seorang wanita di rumahnya sendiri sehingga menjadikannya suspek pembunuhan.

“Novel ini turut menyelitkan unsur komedi dan romantik selain memberikan pengetahuan mengenai burung, khususnya burung enggang.

“Pembaca juga dapat melihat bagaimana penduduk kampung bekerjasama membantu Dr Zarif menghadapi pelbagai konflik yang berlaku,” katanya.

Dalam perkembangan sama menurutnya, K-LIT juga menerbitkan sebuah lagi judul baharu menerusi K-LIT Plus iaitu Made in Library hasil karya penulis Korea, The Casey yang diterjemahkan oleh Miza.A.

Ujarnya, antara novel K-LIT yang turut diterbitkan sebelum ini ialah Operasi Hijau, Eksploitasi dan novel Cinta Tapi Hati Kata Lain yang mendapat sambutan sehingga habis terjual dalam Jualan Gudang itu.

“Bagi pengunjung yang ingin mendapatkan novel terbitan K-LIT di Jalan Gudang Karangkraf, potongan harga sebanyak 15 peratus diberikan kepada pelanggan biasa, manakala ahli VIP menikmati diskaun 20 peratus.

“Sebagai contoh, novel Sambar yang dijual pada harga asal RM35 ditawarkan pada harga RM29.75 selepas diskaun 15 peratus, manakala ahli VIP boleh mendapatkannya pada harga RM28,” katanya.

Scroll to Top