KDN laksana pemurnian 2 tan abu al-Quran di Johor

KDN laksana pemurnian 2 tan abu al-Quran di Johor

am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Sebanyak 2 tan abu al-Quran dilarutkan secara tertib di perairan Johor di Gelang Patah, di sini, hari ini.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Negeri, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Johor, Ismainur Hadi Amat Bakeron berkata, Program Pemurnian Al-Quran itu bertujuan memastikan teks dan bahan al-Quran yang tidak lagi boleh dibaca diuruskan secara teratur dan sempurna.

Beliau berkata, ia bagi memelihara kesucian serta kemuliaan ayat suci al-Quran daripada sebarang bentuk pencemaran, penyalahgunaan atau pengendalian yang tidak sewajarnya.

Katanya, pemurnian terbabit diadakan selepas selesai 36 kertas siasatan berkaitan rampasan membabitkan 1,414 naskhah merangkumi teks dan bahan al-Quran yang bernilai keseluruhan RM39,854.

“Terdahulu keseluruhan kes berkenaan membabitkan tindakan kompaun dan denda yang dilaksanakan membabitkan nilai keseluruhan sejumlah RM19,000.

“Kami merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi serta pihak yang terbabit atas sokongan dan kerjasama dalam menjayakan usaha murni ini.

“Ia termasuk Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ), Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Jabatan Laut Wilayah Selatan, Negeri Johor dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor,” katanya di Program pemurnian Al-Quran di Jabatan Laut Wilayah Selatan di Gelang Patah di sini hari ini.

Program berkenaan disempurnakan oleh Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top