Paris: Alexander Zverev memulakan era sebagai pemain nombor satu dunia dengan langkah sumbang apabila tewas kepada Lorenzo Musetti pada pusingan 32 terakhir Masters Paris.
Juara dua gelaran Grand Slam, tunduk 7-6 (7-5), 6-2 kepada wakil Itali berusia 24 tahun itu dalam aksi pembukaan di ibu negara Perancis.
Zverev bergelut dengan kesilapan sendiri sebelum tersingkir, sekali gus menyaksikan Musetti menjadi pemain kelima yang menewaskan pemain nombor satu dunia dalam perlawanan pertamanya selepas menduduki ranking teratas.
Bagaimanapun, Zverev menegaskan tekanan sebagai pemain nombor satu dunia bukan punca prestasi hambarnya.
“Tekanan? Saya tidak tahu sama ada tekanan. Sejujurnya, saya agak terganggu.
“Beberapa hari kebelakangan ini, status nombor satu dunia adalah sesuatu yang saya rasa diimpikan setiap pemain.
“Namun, saya merasakan saya satu-satunya pemain nombor satu dunia dalam sejarah tenis yang perlu menjelaskan mengapa saya layak berada di kedudukan itu. Saya rasa perkara itu agak sukar kerana saya percaya saya memang layak berada di sini, walaupun tewas hari ini,” katanya.
Kemenangan itu membolehkan Musetti, yang kini berada di ranking ke-24 dunia, mara ke pusingan 16 terakhir.
“Saya menikmati permainan hari ini. Walaupun ketinggalan dalam tie-break, saya terus mengingatkan diri untuk menikmati keindahan sukan ini.
“Usaha itu membuahkan hasil dan saya sangat gembira,” kata Musetti.
Zverev turut mengakui Musetti berada pada tahap lebih baik dalam perlawanan itu.
“Secara ringkas, dia bermain dengan sangat baik dan saya pula bermain dengan sangat teruk.
“Saya rasa ini bukan perlawanan yang baik buat saya, malah mungkin antara persembahan terburuk dalam beberapa bulan kebelakangan ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




