PENYERANG Manchester United, Matheus Cunha terlepas daripada sebarang tindakan disiplin tambahan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) selepas kembali memasuki padang sejurus tamat perlawanan menentang Roma di Old Trafford pada Rabu.
Pemain antarabangsa Brazil itu menjadi antara watak utama kebangkitan dramatik The Red Devils apabila meledak dua gol penting untuk membantu pasukannya melengkapkan kemenangan dalam aksi tersebut.
Bagaimanapun, kegembiraan Cunha selepas menjaringkan gol kedua pada minit ke-86 membawa padah apabila dia menanggalkan jersi ketika meraikan jaringan di hadapan penyokong tuan rumah sekali gus dilayangkan kad kuning.
Keadaan bertambah buruk lima minit kemudian apabila dia melakukan terjahan terhadap Leonardo Balerdi sebelum menerima kad kuning kedua dan dilayangkan kad merah pada minit pertama masa kecederaan.
Cunha menyaksikan baki perlawanan dari tepi padang sebelum kembali memasuki kawasan permainan selepas wisel penamat untuk meraikan kemenangan bersama rakan sepasukannya.
Tindakan itu mencetuskan kebimbangan pengendali United, Michael Carrick yang segera meminta pemain berkenaan menuju ke terowong bagi mengelakkan dia berdepan hukuman tambahan UEFA.
Mengikut Undang-Undang Permainan Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB), pemain yang dilayangkan kad merah perlu meninggalkan kawasan berhampiran padang dan kawasan teknikal serta tidak dibenarkan kembali memasuki padang.
Bagaimanapun, UEFA mengesahkan Cunha tidak akan dikenakan sebarang hukuman tambahan kerana insiden berkenaan tidak direkodkan dalam laporan pegawai perlawanan.
Jurucakap UEFA berkata, penggantungan automatik satu perlawanan susulan dua kad kuning itu kekal dan tiada siasatan lanjut akan dijalankan berhubung tindakan pemain tersebut.
“Pegawai UEFA tidak menyebut apa-apa mengenai insiden ini dalam laporan rasmi perlawanan.
“Oleh itu, penggantungan automatik satu perlawanan susulan dua kad kuning tidak akan dilanjutkan atas sebab ini. Kami tidak menjalankan siasatan lanjut,” katanya.



