‘Tindakan saya tidak wajar, janji lebih hati-hati’ – Jamal Abdillah – Utusan Digital

‘Tindakan saya tidak wajar, janji lebih hati-hati’ – Jamal Abdillah – Utusan Digital

KUALA LUMPUR: Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah memohon maaf atas kesilapannya mengabaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika menghadiri undangan makan tengahari di sebuah ladang bertempat di Kampung Poh, Bidor, Perak baru-baru ini.

Jamal dengan rendah hati mengakui tindakannya itu tidak wajar dan berjanji akan lebih berhati-hati pada masa akan datang.

“Saya mengaku tindakan ini salah dan sebagai selebriti saya seharusnya lebih berhati-hati.

‘Tindakan saya tidak wajar, janji lebih hati-hati’ – Jamal Abdillah – Utusan Digital

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya memohon maaf atas kelalaian dan diharapkan kesilapan ini tidak dicontohi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Jamal atau nama sebenar, Jamal Ubaidillah Mohd. Ali, 62, telah hadir ke Balai Polis Daerah Tapah sekitar 1.30 petang semalam untuk membantu siasatan.

Beliau ditemani isteri, Datin Zai Izzati Khiruddin yang turut memberi keterangan kepada pihak polis.

Jelas Jamal, proses siasatan yang dilakukan ke atas mereka berdua berjalan lancar dan berlangsung singkat.

“Soal siasat melibatkan saya dan isteri berlangsung kira-kira 20 minit. Namun perinciannya tidak dapat saya kongsikan memandangkan isu ini masih dalam siasatan,” katanya.

Baru-baru ini Jamal mencetuskan kemarahan ramai apabila foto memperlihatkan beliau bersama beberapa individu sedang menikmati durian sambil berkaraoke di sebuah ladang tular di media sosial.

Mengulas tentang perkara itu, penyanyi bersuara emas ini memberitahu kehadiran beliau di ladang berkenaan hanyalah untuk mendapatkan baja bagi perniagaan kolam ikan yang diusahakannya.

“Rakan saya yang memiliki kebun durian telah mempelawa saya untuk menikmati makan tengahari di sana. Saya penuhi hasratnya itu.

“Kebetulan ketika itu ada disediakan set karaoke dan penduduk yang hadir mengundang saya untuk mendendangkan lagu. Kerana tidak mahu menghampakan, saya turuti permintaan mereka dan saat itu saya terleka, membuka pelitup muka dan meletaknya di tepi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

 

 

Scroll to Top