PM Anwar tegur Hadi isu CSA -“Bila dia buat, tidak Dajjal. Bila orang buat, jadi Dajjal”

PM Anwar tegur Hadi isu CSA -“Bila dia buat, tidak Dajjal. Bila orang buat, jadi Dajjal”

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyamakan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan pendekatan Dajjal kerana disifatkan sebagai tidak wajar.

Sepatutnya kenyataan Hadi perlu lebih terkawal

Memetik laporan daripada Astro Awani, Anwar menyatakan penggunaan istilah sedemikian untuk menghukum individu, kumpulan atau sesuatu pendirian tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi apabila perkara itu membabitkan agama.

“Sepatutnya kenyataan dia (Abdul Hadi) itu lebih terkawal. Mereka cuba jawab, dia bukan tuju kepada saya. Tak apa, tetapi untuk menghukum orang atau kumpulan atau pendirian sebagai Dajjal, itu tidak kena.
“Saya tidak fikir agama boleh dipermainkan seperti itu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026 di Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka.

Foto: PMO

Anwar persoal kenyataan Hadi

Mengulas lanjut perkara tersebut, Anwar turut mempersoalkan kenyataan Ahli Parlimen Marang itu memandangkan cadangan awal berkaitan memorandum persefahaman (MoU) berkenaan pernah dikemukakan oleh Perikatan Nasional (PN), yang turut dianggotai Pas.

Ujarnya, cadangan tersebut dibawa bersama beberapa pemimpin ketika itu termasuk Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum draf sama digunakan dalam rundingan.

“Siapa yang mengemukakan kertas cadangan memorandum persefahaman ini adalah PN, yang dianggotai Pas juga ketika itu, Bersatu, dan UMNO bersama Pakatan Harapan (PH). Kemudian kita meterai.
“Jadi macam mana sekarang bila dia buat, tidak Dajjal. Bila orang buat, jadi Dajjal. Ini masalah dia,” katanya.

Hadi sebelum ini sifatkan CSA pendekatan Dajjal

Terdahulu, pada 3 November lalu, Abdul Hadi dilaporkan menyifatkan pemeteraian CSA sebagai satu ‘pendekatan Dajjal’ kerana dianggap mengkhianati amanah.

Beliau turut mendakwa negara seluruh dunia menerima amalan bahawa segala hasil negara menjadi hak rakyat, sama ada diperoleh secara langsung atau tidak.

Foto: Astro Awani

Untuk rekod, kerajaan pada minggu lalu memeterai CSA bersama enam Ahli Parlimen Bersatu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) serta enam Ahli Parlimen Bebas.

Menerusi perjanjian itu, kesemua 13 Ahli Parlimen berkenaan bersetuju menyokong pentadbiran Kerajaan MADANI sehingga tamat penggal Parlimen semasa, termasuk dalam undian penting.

Sumber: Astro Awani (Hasimi Muhamad)

Scroll to Top