Kuala Lumpur: Meskipun memikul amanah sebagai pensyarah, pelakon senior Vanidah Imran menzahirkan rasa simpati terhadap pelbagai kesukaran yang dihadapi generasi muda masa kini.
Vanidah, 53, berkata gaya hidup moden yang pantas menuntut kesabaran mendalam untuk membimbing generasi muda atau Gen Z yang kurang mendalami sejarah dan latar belakang tokoh seni terdahulu.
“Apabila mengajar generasi sekarang, kita perlu faham mereka tetapi dalam masa sama saya rasa kasihan kerana mereka 'tercampak' dalam sebuah dunia yang serba pantas.
“Dulu kita dipaksa untuk tahu pelbagai perkara. Gen Z pula sebaliknya, mereka sebenarnya tidak tahu banyak perkara kerana persekitaran dan keluarga.
“Jika pihak universiti tidak memberi ilmu tambahan, mereka hanya akan bergantung kepada apa yang diajar dan daripada media sosial semata-mata.
“Kecuali jika mereka seorang pembaca tegar, gemar menonton filem dan mempunyai inisiatif dalam mencari ilmu secara sendiri,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.
Menurut Vanidah yang bertugas di Universiti Multimedia di Cyberjaya, orang ramai tidak seharusnya meletakkan kesalahan kepada Gen Z jika mereka kurang pengetahuan tentang karyawan serta karya-karya terdahulu.
“Kita tidak boleh salahkan mereka kalau mereka tidak tahu banyak perkara, apatah lagi hal-hal terdahulu.
“Apabila saya mengajar filem, saya tanya kepada pelajar sama ada mereka kenal Tan Sri P Ramlee, ada yang tahu dan tidak.
“Jadi, kita sendiri perlu bantu dan beri bimbingan kepada mereka serta banyak bersabar dengan Gen Z. Kita tidak boleh meletakkan jangkaan bahawa mereka sudah sedia tahu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Vanidah turut berpendapat bahawa usaha golongan pendidik perlu selari dengan kesungguhan pelajar.
“Tetapi sekiranya kita sudah bersabar dan memberi ilmu, namun mereka sendiri tidak berusaha, itu memang patut diambil tindakan tegas.
“Saya memang kasihan kerana mereka kurang terdedah melainkan keluarga sendiri yang memberi pendedahan awal.
“Mereka kini berada dalam dunia yang bergerak terlalu pantas dan kadang-kadang mudah terpedaya dengan media sosial, malah mempercayai sesuatu perkara secara membuta tuli tanpa usul periksa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




