Najib dijangka ‘balik’ rumah hari ini

Najib dijangka ‘balik’ rumah hari ini

KUALA LUMPUR: Perintah pelaksanaan tahanan di rumah bagi Datuk Seri Najib Razak akan diserahkan ke Penjara Kajang serta-merta hari ini.

Pembayaran itu sekali gus melengkapkan syarat utama seperti ditetapkan dalam pengampunan bersyarat oleh Lembaga Pengampunan yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu beralih daripada Penjara Kajang kepada tahanan di rumahnya di Langgak Duta.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah berkenaan susulan pengampunan diraja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apa yang boleh saya sahkan ialah setakat pagi ini, denda sebanyak RM50 juta bagi Datuk Seri telah dibayar oleh UMNO kepada Mahkamah Tinggi.

“Susulan itu, pihak mahkamah telah mengeluarkan perintah tahanan di rumah, selaras dengan pengampunan diraja.

“Kami kini memegang perintah tersebut dan kami akan menghantarnya ke Penjara Kajang sekarang juga,” katanya ketika ditemui media selepas selesai urusan berkait pembayaran itu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada Najib akan dibebaskan untuk menjalani tahanan di rumah hari ini, Muhammad Farhan menjangkakan perkara itu boleh berlaku hari ini sekiranya segala proses berjalan lancar.

“Kami jangkakan hari ini, tetapi ia bergantung kepada proses yang perlu dilalui. Jika semuanya berjalan mengikut perancangan, ya (hari ini).

“Bagaimanapun, masih ada beberapa proses lanjut yang perlu diselesaikan. Kenyataan yang lebih terperinci akan dikeluarkan sebaik sahaja keseluruhan proses ini selesai,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top