Eksploitasi pekerja asing: Anwar panggil kementerian berkaitan dalam masa terdekat

Eksploitasi pekerja asing: Anwar panggil kementerian berkaitan dalam masa terdekat

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan kementerian berkaitan bagi membincangkan isu eksploitasi pekerja asing di negara ini, dalam masa terdekat.

Beliau berkata, isu membabitkan pekerja asing yang terus dieksploitasi atau ditempatkan dalam keadaan tidak berperikemanusiaan perlu ditangani segera, termasuk kegiatan sindiket yang mengenakan kos pengambilan pekerja terlalu tinggi.

Katanya, terdapat tempat penginapan pekerja asing yang begitu daif sehingga menggambarkan keadaan seolah-olah mereka hidup dalam zaman seratus tahun lalu.

“Tengok macam mana sesetengah majikan letak pekerja-pekerja, sorok dalam tempat macam hamba abdi (seolah-olah zaman) seratus tahun lalu. Saya tidak boleh menerima keadaan seperti itu.

“Saya fikir bagi saya tempoh seminggu atau dua minggu ini, saya akan bawa kepada kementerian untuk membincangkan isu ini secara khusus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi moderator dalam Forum Ilmuan Malaysia MADANI (FIM) bertajuk Daya Tahan Negara dalam Keterjaminan Makanan bagi Mendepani Ketidaktentuan Global di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie Bhd (Guthrie), Mohd Haris Mohd Arshad.

Beliau berkata, walaupun kerajaan mengakui sektor tertentu masih memerlukan tenaga kerja asing, pengambilan pekerja berkenaan perlu dilakukan secara terkawal dan berdasarkan keperluan sebenar industri.

Katanya, kerajaan bersedia mempertimbangkan permohonan pengambilan pekerja asing bagi sektor yang benar-benar memerlukan tenaga kerja berkenaan, khususnya sektor perladangan yang masih berdepan kekurangan pekerja untuk melakukan kerja tertentu seperti memotong buah kelapa sawit.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kelonggaran itu perlu disertai komitmen majikan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing melalui pelaksanaan mekanisasi dan automasi.

“Isu eksploitasi pekerja juga perlu ditangani, termasuk sindiket yang mengenakan kos pengambilan pekerja terlalu tinggi.

“Sekarang kita sedang berunding dengan satu persatu negara bagi mengurangkan kos pengambilan pekerja asing kalau kos (berkenaan) yang munasabah dan tidak membebankan.

“Ini kos kepada ejen berlambak-lambak. Dulu ada ejen yang ambil gaji dan simpan pasport. Ini saya sebut sebagai perhambaan moden dan kita tidak boleh berkompromi,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut mengulas mengenai pendekatan kerajaan dalam mengadakan rundingan dengan Presiden Myanmar berhubung penghantaran pulang rakyat negara itu yang berada di Malaysia.

“Kita mempunyai 200,000 rakyat Myanmar di sini, termasuk pelarian ekonomi. Jika mereka dihantar pulang, kumpulan hak asasi manusia membantah. Jika mereka terus berada di sini, rakyat pula membantah,” katanya.

Beliau berkata, lebih 10,000 warga Myanmar sudah dihantar pulang menerusi persetujuan berkenaan.

Katanya, sentimen antiwarga asing juga kadangkala menjadi keterlaluan sehingga mengabaikan nilai kemanusiaan.

“Jika kita mengetatkan dasar, industri tertentu akan terjejas. Jika kita melonggarkannya, masalah ekonomi dan sosial yang serius pula timbul,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top