am@hmetro.com.my
Georgetown: Polis menyiasat dakwaan tuduhan salah laku anggota polis ketika menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang di Puncak Erskine, Jalan Fettes, Tanjung Tokong di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, dakwaan itu dikesan pihaknya menerusi video tular di media sosial, hari ini.
Katanya, pihaknya sudah menerima laporan daripada polis anggota terbabit yang menafikan dakwaan berlaku salah laku rasuah ketika pemeriksaan dijalankan.
“Siasatan menyeluruh berhubung kejadian yang dipaparkan dalam video tular membabitkan anggota polis itu adalah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (fitnah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Di samping itu, aspek pematuhan prosedur dan tatatertib anggota polis terbabit juga akan disiasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Rozak dalam masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebar video berkenaan dan membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis.
Beliau meminta pihak mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil ke Pejabat Ketua Polis Daerah Timur Laut atau menghubungi talian 04-2181822 atau pegawai penyiasat kes di talian 014-3189026 bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




