Aura lagu ikonik terus mekar menarikkan semangat perpaduan

Aura lagu ikonik terus mekar menarikkan semangat perpaduan

Norhayati Nordin

norhayati_nordin@hmetro.com.my

HAMPIR mencecah tiga dekad diminati dan ‘evergreen’, lagu Standing In The Eyes Of The World nyanyian Ella yang dilancarkan pada 1998 itu terus ‘megah di puncak tinggi’ seiring judulnya.

Mengambil kira impian komposer dan pemuzik, Datuk Wah Idris, 69, yang memaklumkan sememangnya menjadi keinginan beliau untuk lagu itu sentiasa terlihat tinggi seumpama maksud perkataan ‘standing in the eyes of the world’.

Bagi Ratu Rock, Ella, lagu Standing In The Eyes Of The World nyanyiannya adalah karya istimewa yang sangat bermakna kerana alunan melodi serta lirik cukup indah dan penuh semangat.

“Dalam kehidupan ini, terlalu banyak dugaan dan kita perlu berjuang untuk memperoleh kesenangan, kejayaan dan apa sahaja diinginkan. Itulah yang dimuatkan dalam Standing In The Eyes Of The World.

“Saya sangat gembira dan bersyukur lagu ini milik saya sebagai penyanyi asalnya. Malah, dalam katalog lagu untuk konsert dan show saya, lagu ini menjadi antara ‘yang wajib’ harus dinyanyikan.

“Lagu ini unik dan ikonik sebab peminatnya seluruh rakyat Malaysia. Tidak kira Melayu, Cina dan India, semua etnik dalam negara ini tahu dan menyukai lagu Standing In Eyes Of The World,” katanya.

Ujar Ella, dia memang terus tertarik dengan melodi lagu itu apabila menerimanya kerana sangat memahami penceritaan dan lebih dirasai apabila menyanyikan sebab lirik amat mendalam.

“Lagu Standing In The Eyes Of The World ini ada kisah dan semangat tersendiri yang perlu kita kejar dan cuba dicapai untuk memilikinya. Jadi, bila sudah fahami melodi dan lirik itu, memang jadi bersemangat.

“Kekuatan lagu ini besar dan kental, sekali gus membuatkan kita bila mendengar sahaja jadi teruja. Apatah lagi, saya yang diberi kepercayaan untuk menyanyi dan merakamkannya.

“Lebih bermakna lagi, adalah ketika lagu ini menjadi pilihan kerajaan untuk diangkat sebagai lagu tema Sukan Komanwel atau SUKOM yang berlangsung di Malaysia pada 1998, dan bertaraf dunia,” katanya.

Menurut Ella, kenangan itu disifatkan antara pencapaian tertinggi pernah diraihnya kerana daripada Sukan Komanwel berkenaan, dia tidak sangka impak lagu mampu kekal bertahan sampai sekarang.

Sementara itu, Datuk Habsah Hassan, 77, sebagai penulis lirik berkata, Wah memang memberitahunya mengenai lirik lagu diinginkan yang boleh mengangkat semangat juang tanpa ada nama negara tertulis demi menggalas tanggungjawab itu.

“Dalam erti kata lain, kita memang mencurahkan sepenuh semangat dan impian untuk mengharumkan nama negara tercinta, tetapi cukup matlamat itu mampu difahami dengan jelas oleh kita sendiri.

“Memang sangat mencabar, sebab saya menghasilkan lirik lagu bahasa Melayu, berdasarkan versi bahasa Inggeris yang diterima. Jadi, saya fahamkan dulu betul-betul setiap struktur kata perkataan.

“Saya tidak boleh buat terjemahan lirik mengikut maksud perkataan secara langsung kerana struktur kata bahasa Melayu dan Inggeris amat berbeza. Pendekatan memahami lirik sangat penting,” katanya.

Jelas Habsah, bagi memastikan lirik lagu itu memenuhi kehendak bayangan komposer, beliau memilih memuatkan ungkapan yang lebih menjurus kepada nilai kemanusiaan dan bersifat neutral.

Selain Wah, lagu Standing In The Eyes Of The World juga mendapat sentuhan daripada pencipta lagu dari Amerika Syarikat (AS) iaitu David Gates yang dimaklumkan sudi bekerjasama dengannya.

Baru-baru ini, Wah, Habsah dan Ella hadir berkongsi pengalaman sebagai panel forum Standing In The Eyes Of The World: Di Sebalik Proses Kreatif Memori Kolektif dan Makna Sebuah Lagu sempena My Symposium on Practice as Research (MySpar) International anjuran Pusat Pengajian Pascasiswazah, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top