am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar digesa mengambil cuti serta-merta sementara siasatan polis berhubung laporan terhadap beliau berkaitan isu pelaksanaan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijalankan.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu perlu bagi memastikan proses siasatan berlangsung secara telus dan berintegriti memandangkan Peguam Negara kini menjadi individu yang disiasat.
Katanya, beberapa laporan polis sudah dibuat terhadap Peguam Negara susulan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung penangguhan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib.
“Beberapa laporan polis sudah dibuat termasuk daripada Pemuda UMNO Malaysia terhadap Peguam Negara.
“Prosesnya sekarang adalah Peguam Negara mesti mengambil cuti. Beliau sekarang ini adalah ‘the subject of investigation’ (subjek siasatan).
“Bila laporan polis dibuat, siasatan mesti dijalankan,” katanya kepada pemberita pada program sesi ramah mesra dengan penduduk bersama calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia Ahmad Norazril Abdul Aziz, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, beliau menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan menghormati hak berperlembagaan Seri Paduka Baginda melalui Lembaga Pengampunan untuk memberikan pengampunan.
Katanya, Peguam Negara juga adalah anggota Lembaga Pengampunan dan mempersoalkan mengapa perkara yang dibangkitkan dalam kenyataan AGC tidak dibangkitkan ketika mesyuarat lembaga berkenaan sebelum keputusan pengampunan bersyarat diberikan kepada Najib.
“Tempoh antara keputusan itu dengan kenyataan daripada Peguam Negara semalam adalah agak lama, berminggu-minggu.
“Ia hanya dibuat apabila duit yang diminta atau syarat yang ditetapkan RM50 juta dah ditunaikan atau dah diselesaikan.
“Tiba-tiba pula dikeluarkan kenyataan (penangguhan),” katanya.
Khairy berkata, isu berkenaan bukan perkara kecil kerana sudah mencetuskan reaksi serius daripada Istana Negara sehingga membawa kepada laporan polis.
“Ini bukan isu kecil. Peguam Negara, kalau ikut apa yang saya rasa bahawa satu proses yang telus yang pegang kepada nilai integriti, mesti mengambil cuti serta-merta sehingga siasatan diselesai,” katanya.
Hari ini, media melaporkan UMNO di peringkat negeri dan bahagian akan membuat laporan polis berhubung penangguhan pelaksanaan perintah pengampunan bersyarat ke atas Najib.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dilapor berkata, laporan polis itu bagi membolehkan pihak berkuasa meneliti sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang dalam pelaksanaan titah dan perintah mahkamah.
Semalam, AGC menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib, bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim
Dalam satu kenyataan, AGC memaklumkan penangguhan itu dibuat susulan timbul persoalan perundangan berhubung tafsiran perintah bertarikh 18 September 2026, khusus mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International.
Semalam peguam Najib, Muhammad Farhan Shafee mengesahkan selesai menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas pemimpin itu dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Pada 18 September lalu, Najib mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
© New Straits Times Press (M) Bhd




