am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Komisioner Jeneral Penjara digesa segera memindahkan Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak ke kediamannya di Langgak Duta di sini, untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Gesaan pasukan pembelaan Najib dibuat selari titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerusi perintah pengampunan bersyarat ke atas bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Peguam dari firma Tetuan Shafee & Co itu antara lain menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik ‘penangguhan sementara’ bagi pelaksanaan perintah berkenaan secara serta-merta.
“Perintah Yang di-Pertuan Agong mesti dilaksanakan hari ini.
“Pendirian anak guam kami mengenai kesan undang-undang perintah pengampunan secara keseluruhannya serta hukuman dan hak beliau kekal terpelihara.
“Sehingga kenyataan disiarkan, anak guam kami masih berada di Penjara Kajang dan titah Yang di-Pertuan Agong belum dilaksanakan.
“Baginda juga bertitah sebarang hujah mempertikaikan perintah pengampunan menjurus ke arah mengingkari perintah baginda.
“Kenyataan AGC tengah hari tadi, perlu dibaca sebagai keingkaran nyata terhadap Agong,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Terdahulu, Istana Negara bertitah, sebarang hujah mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib disifatkan menjurus kepada tindakan mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Ini kerana, semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat itu sudah dipenuhi dan pelaksanaannya tidak sepatutnya menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.
Titah itu turut menegaskan perintah pengampunan berkenaan adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti serta tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kes lain dihadapi Najib.
Semalam, media melaporkan UMNO mengesahkan proses pembayaran denda RM50 juta sudah diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai syarat untuk Najib menjalani tahanan di rumah.
Bagaimanapun, AGC kemudian dilapor menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat diperkenankan Sultan Ibrahim.
AGC dipetik berkata, penangguhan dibuat susulan timbul persoalan perundangan bagi tafsiran perintah itu, terutama mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International.
Pada 18 September lalu, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sudah meneliti petisyen Najib di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas titah Sultan Iskandar, pasukan pembelaan Najib menegaskan, ia menjawab setiap persoalan dibangkitkan AGC, selain menegaskan perintah mahkamah tidak boleh mengubah titah Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, AGC bersandar kepada Perintah Pelepasan atas Pembayaran Denda dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, yang perlu dibaca secara keseluruhan, bermula daripada tajuknya.
“Ia adalah perintah susulan pembayaran denda dan pelepasan dibenarkannya terbit daripada pembayaran berkenaan, seperti tercatat dalam resital: “dan bahawasanya denda berkenaan… kini sudah dibayar.”
“Di sisi undang-undang, pembayaran denda melepaskan liabiliti untuk membayar denda dan proses berkenaan dengan sendiri, tidak boleh menamatkan hukuman pemenjaraan.
“Perintah sama turut merekodkan anak guam kami hendaklah menjalani hukuman secara tahanan di rumah selaras perintah pengampunan, seperti diakui AGC semalam,” katanya.
Mereka berkata, perintah pengampunan adalah pelaksanaan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan dengan mahkamah atau Peguam Negara tidak berhak membuka semula kaedah baginda melaksanakannya selepas menerima nasihat lembaga pengampunan.
“Baginda bertitah perintah pengampunan adalah jelas. Perintah mahkamah dikeluarkan bagi melaksanakan perintah pengampunan selepas pembayaran denda RM50 juta direkodkan, tidak boleh menukar titah jelas ini menjadi sesuatu yang lain.
“Selain itu, tiada apa-apa tafsiran terhadap perintah mahkamah yang boleh mengatasi apa-apa yang dititahkan baginda dengan sejelas-jelasnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




