Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiasat dakwaan keracunan makanan membabitkan produk Gardenia yang tular di media sosial, khususnya Gardenia Original Classic White Bread dan Twiggies Choc-A-Lot.
KKM memaklumkan siasatan awal sudah dimulakan mengikut Akta Makanan 1983 bagi mengenal pasti punca gejala yang dilaporkan serta memastikan keselamatan produk makanan berkenaan.
Menurut kementerian itu, pihaknya telah mendapatkan penjelasan daripada Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. berhubung aduan yang diterima.

Hasil siasatan dalaman syarikat mendapati tiada sebarang penyimpangan dalam proses pengeluaran, perubahan resipi atau ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan keselamatan makanan.
Bagaimanapun, proses pengesanan produk masih belum dapat dilengkapkan berikutan kekurangan maklumat mengenai kelompok pengilangan dan tarikh luput produk yang diadu.
“Bagaimanapun, baki produk serta bungkusannya telah diambil dengan persetujuan pengadu untuk analisis makmal,” menurut KKM.
Kementerian itu menjelaskan bahawa dapatan siasatan dalaman Gardenia belum boleh dijadikan asas untuk menentukan punca sebenar gejala yang dialami pengadu.
“KKM masih menunggu keputusan analisis makmal dan akan menjalankan pemeriksaan susulan di kilang bagi mengesahkan pematuhan terhadap Akta Makanan 1983,” katanya.

Tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil sekiranya siasatan menemui bukti pelanggaran undang-undang atau risiko terhadap keselamatan makanan.
Dalam masa sama, KKM menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sehingga keputusan siasatan diperoleh.
Pengguna yang mengalami muntah, cirit-birit atau ketidakselesaan selepas mengambil produk yang disyaki turut diminta mendapatkan rawatan segera dan melaporkan kejadian kepada Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.
Sumber: FB KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA




