Miami: Prosedur rutin bagi persediaan memindahkan seekor antelop ke fasiliti lain bertukar cemas apabila seorang pekerja Zoo Miami mengalami gejala tidak sihat menyebabkan pihak zoo memberikan ubat Narcan sebelum mengejarkannya ke hospital berhampiran, lapor People.
Kejadian berlaku ketika pekerja berkenaan membantu memegang kepala seekor antelop kudu besar selepas haiwan itu dilumpuhkan bagi membolehkan doktor veterinar menjalankan pemeriksaan sebelum proses pemindahan, menurut hantaran Zoo Miami di media sosial.
Ubat yang digunakan untuk melumpuhkan haiwan itu termasuk thiafentanil, sejenis opioid yang sangat kuat. Pihak zoo belum mengesahkan punca sebenar gejala yang dialami pekerja terbabit, namun bimbang dia mungkin terdedah kepada ubat berkenaan secara tidak sengaja menerusi air liur haiwan itu.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pekerja berkenaan diberikan Narcan, ubat yang digunakan untuk memulihkan kesan keracunan opioid sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Jackson South untuk pemeriksaan lanjut. Menurut pihak zoo, pekerja itu berada dalam keadaan stabil dan masih di bawah pemerhatian perubatan.
Thiafentanil digunakan oleh doktor veterinar untuk melumpuhkan haiwan tertentu buat sementara waktu ketika prosedur perubatan dijalankan. Bagaimanapun, ubat itu boleh membahayakan manusia sekiranya terdedah secara tidak sengaja.
Label produk berkenaan turut memberi amaran bahawa ubat bukan untuk kegunaan manusia dan pengendali perlu mengambil langkah berjaga-jaga yang ketat Ketika menggunakannya.
Antara gejala yang mungkin dialami akibat pendedahan kepada ubat itu termasuk pening, loya dan anak mata mengecil secara luar biasa. Kesan yang lebih serius pula merangkumi kesukaran bernafas, tekanan darah rendah serta kehilangan kesedaran, menurut label ubat berkenaan.
Haiwan yang terbabit dalam prosedur itu ialah kudu besar, sejenis antelop bersaiz besar yang berasal dari Afrika Timur dan selatan. Spesies itu terkenal dengan tanduk berpilin pada haiwan jantan yang boleh mencapai panjang lebih tiga kaki (0.91 meter) panjang.
Kudu besar juga haiwan sosial yang lazimnya hidup dalam kumpulan bercampur jantina dengan jumlah sehingga mencapai 25 ekor, menurut laman web Zoo Miami.
Bagaimanapun, pihak zoo belum mengesahkan sama ada pekerja terbabit benar-benar terdedah kepada bahan pelali itu atau punca sebenar gejala yang dialaminya.
Sementara itu, PEOPLE memaklumkan pihaknya sudah menghubungi Zoo Miami bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai keadaan pekerja berkenaan serta maklumat lanjut mengenai kejadian itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd