Kolkata, India: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun didakwa mencampakkan bayi yang baru dilahirkannya menerusi tingkap tandas sebuah pusat kejururawatan, beberapa minit selepas bersalin sehingga menyebabkan kematian bayi itu pada Sabtu, lapor Press Trust Of India (PTI)
Kejadian berlaku selepas remaja terbabit dibawa ke pusat kejururawatan di daerah Hooghly, West Bengal kendalian Perbandaran Uttarpara oleh ahli keluarganya lewat malam Jumaat selepas mengadu mengalami sakit perut yang teruk.
Seorang pegawai kanan Balai Polis Uttarpara berkata, siasatan awal mendapati remaja itu masuk ke dalam tandas pada pagi Sabtu selepas sakit perutnya dilaporkan semakin memuncak.
“Dia melahirkan bayi di situ tanpa bantuan sesiapa,” katanya.
Pihak berkuasa pusat kejururawatan mendakwa remaja bawah umur itu kemudian mencampakkan bayi yang baru dilahirkannya keluar menerusi tingkap tandas berkenaan.
Bayi perempuan itu ditemukan dalam keadaan berlumuran darah oleh seorang orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.
Seorang jururawat bergegas ke lokasi penemuan untuk membawa bayi itu masuk ke dalam premis, namun mendapati mangsa sudah meninggal dunia.
Pegawai polis berkenaan turut mengesahkan bayi itu adalah perempuan manakala ahli keluarga remaja terbabit mendakwa mereka langsung tidak mengetahui bahawa anak mereka sedang hamil.
“Ahli keluarga membawanya ke pusat kejururawatan kerana menyangka dia hanya mengalami sakit perut biasa. Kami sedang menyemak kesahihan dakwaan mereka,” katanya.
Pemilik pusat rawatan, Sucheta Mukherjee berkata, remaja itu dimasukkan ke premis berkenaan lewat malam Jumaat sebelum menjalani ujian darah pada pagi Sabtu.
Menurutnya, remaja terbabit kemudian berjalan sendiri ke tandas apabila sakit perutnya semakin teruk sebelum melahirkan bayi tanpa bantuan sesiapa dan didakwa mencampakkannya keluar menerusi tingkap.
Mukherjee turut mendakwa kakitangan pusat kejururawatan berulang kali bertanya kepada keluarga remaja itu mengenai kemungkinan dia hamil ketika proses kemasukan wad, namun mereka bertegas tidak mengetahui perkara berkenaan.
Sementara itu, polis memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi meneliti semua aspek termasuk memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) serta mengambil keterangan ibu bapa dan ahli keluarga remaja terbabit.
Polis turut meneliti dakwaan penduduk setempat bahawa kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku di pusat kejururawatan berkenaan, malah pernah ada janin ditemukan di premis itu sebelum ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




