Tiga kapal minyak terbakar di Selat Hormuz

Tiga kapal minyak terbakar di Selat Hormuz

TEHERAN: Tiga buah kapal tangki minyak terbakar pada Ahad di Selat Hormuz, menurut kenyataan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC).

Sejak perang Iran tercetus pada akhir Februari lalu, Teheran mengehadkan dengan ketara pergerakan kapal melalui laluan perairan strategik itu.

Ia menegaskan bahawa semua kapal perlu menggunakan laluan yang dibenarkan oleh Republik Islam berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebagai tindak balas, Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran.

Ia turut membantu kapal tangki minyak melalui selat berkenaan, yang lazimnya menjadi laluan kira-kira satu perlima daripada penggunaan minyak global.

“Sejak awal pagi ini, tiga kapal tangki yang ingkar telah meletup dan terbakar ketika belayar melalui laluan tidak sah di Selat Hormuz,” menurut kenyataan IRGC, sayap ideologi ketenteraan Iran.

Namun, ia tidak menyatakan nama atau negara asal kapal tangki berkenaan.

Pada Ahad juga, agensi maritim Britain, UKMTO melaporkan sebuah kapal tangki terbakar di selat itu, berhampiran pantai Khasab, Oman, sehari sebelumnya.

“Pihak berkuasa tentera melaporkan kapal tangki itu terbakar sehingga menyebabkan anak kapalnya dipindahkan,” menurut kenyataan agensi tersebut yang turut melaporkan sebuah lagi kapal tangki terkena objek tidak dikenal pasti pada Sabtu.

Media kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad melaporkan seramai 22 individu diselamatkan daripada sebuah kapal yang terbakar di Teluk Oman dan berada dalam keadaan stabil.

Bagaimanapun, AFP tidak dapat mengesahkan sama ada pelbagai laporan itu merujuk kepada insiden yang sama.

Teheran mengeluarkan beberapa pengumuman sejak beberapa minggu kebelakangan ini dengan mendakwa beberapa kapal terbakar di Selat Hormuz. – AFP

Scroll to Top