Itali bawa pulang semua tentera dari Afghanistan

Itali bawa pulang semua tentera dari Afghanistan

ROM: Itali hari ini mengumumkan sudah membawa keluar semua anggota tenteranya dari Afghanistan, sekali gus mengakhiri penempatan selama 20 tahun di situ.

Ia adalah sebagai sebahagian usaha dipercepatkan bagi membawa keluar tentera bersekutu di bawah panji pasukan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Anggota sekutu yang disokong Amerika Syarikat (AS) itu bersetuju pada April lalu untuk menamatkan misi mereka membabitkan 9,600 anggota di Afghanistan.

Menteri Pertahanan Itali, Lorenzo Guerini, dalam satu kenyataan, berkata sekurang-kurangnya puluhan tentera membabitkan kumpulan terakhir sudah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pisa, Itali dari Herat, Afghanistan.

“Malam tadi, misi Itali di Afghanistan secara rasminya berakhir, namun komitmen masyarakat antarabangsa terhadap Afghanistan, bermula dengan Itali, tidak berakhir di sini.

“Ia akan berterusan dalam pelbagai bentuk lain, umpamanya menguatkan pembangunan kerjasama untuk menyokong institusi republik Afghanistan,” katanya.

Menurut kementerian itu, 50,000 tentera Itali dikerahkan ke Afghanistan sepanjang lebih 20 tahun selepas serangan 11 September 2001 yang mendorong pembabitan AS dan NATO di negara itu.

Dalam tempoh itu, seramai 53 tentera terkorban manakala 723 cedera.

Itali adalah salah satu daripada lima negara yang paling banyak terbabit dengan Afghanistan selain AS, Turki, Britain dan Jerman.

Misi bukan pertempuran yang dipimpin NATO bertujuan untuk melatih pasukan Afghanistan bagi memastikan keselamatan negara mereka selepas pengunduran kuasa luar.

bagaimanapun, pengunduran itu turut mendorong ketakutan kerana puak Taliban sudah mula kembali berperang dengan tentera kerajaan Afghanistan bagi merampas kuasa. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top