Lifestyle: Bukan mudah menyesuaikan diri dengan norma baharu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kehidupan masyarakat kini berubah dan ada yang berasa seolah-olah ‘dipenjara’ di kediaman sendiri.
Melalui empat fasa PKP, situasi semasa boleh memberikan impak kepada emosi dan tingkah laku jika tidak diuruskan dengan baik.
Perunding Psikiatri Sunway Medical Centre Velocity, Dr Lim Wai Jenn berkata bahawa setiap perubahan yang berlaku dalam kehidupan boleh memberi tekanan hingga menyebabkan individu mengalami kebimbangan dan kemurungan.
Katanya, adalah perkara biasa individu mengalami gangguan ketidakstabilan emosi atau kerisauan dan kebimbangan yang sederhana dalam kehidupan harian.
“Bagaimanapun, jika gangguan ini kerap berlaku atau berlanjutan hingga menjejaskan tidur, selera makan, keupayaan untuk berfungsi dan keseronokan melakukan sebarang aktiviti, ini berkemungkinan tanda masalah kesihatan mental yang lebih serius”, katanya.
Dikongskikan tip penjagaan kesihatan mental semasa PKP:
1) Ketahui fakta
Kebiasaannya otak mudah terganggu dan tertekan apabila menghadapi keadaan yang tidak diketahui dan tak pasti seperti COVID-19.
Fakta sememangnya diperlukan supaya otak boleh bersedia, merancang dan menyelesaikan masalah namun perlulah merujuk sumber yang dipercayai serta tepat.
2) Tumpu kepada maklumat yang ingin diketahui untuk tindakan seterusnya
Atasi pemikiran negatif dengan memperoleh maklumat tepat untuk melakukan aktiviti berfaedah. Buat senarai tugas kerana ia mampu membuatkan individu rasa lebih bertenaga dan selamat.
3) Rutin
Cara terbaik untuk kekal tenang dan fokus ialah mengekalkan rutin harian seperti bersenam, makan, membaca buku dan tidur. Aktiviti demikian dapat menghindari kebosanan, keresahan dan berfikir secara berlebihan.
4) Menapis maklumat
Pilih maklumat yang berkualiti dan diperlukan saja bagi mengelakkan terdedah kepada maklumat tidak tepat yang akhirnya mengganggu emosi.
5) Hubungan sosial
Memperkuat hubungan sosial dengan ahli keluarga dan rakan kerana ia dapat mengurangkan tekanan sekali gus meningkatkan tahap kesihatan. Hubungan boleh dieratkan melalui komunikasi panggilan telefon atau Internet.
6) Badan dan minda sihat
Tidur yang mencukupi, diet yang sihat dan senaman adalah penting untuk menguatkan sistem imun badan bagi menepis tekanan dan gangguan kebimbangan.
7) Ketenangan
Melakukan aktiviti yang boleh mengurangkan tekanan dan memberi lebih ketenangan samaada melalui senaman pernafasan, mendengar muzik, memasak, berkebun dan sebagainya.
Sumber: HM
Akmal Hakim
Lifestyle Desk



