am@hmetro.com.my
Ayer Keroh: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencadangkan supaya had subsidi petrol menerusi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dikembalikan sekurang-kurangnya kepada 300 liter sebulan sekiranya tekanan harga minyak dunia kembali reda dan kedudukan fiskal negara terus mengukuh.
Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata mekanisme tambahan sehingga 350 liter sebulan juga boleh dipertimbangkan bagi kelompok yang mempunyai keperluan operasi dan mobiliti lebih tinggi, tertakluk kepada pengesahan data serta kriteria yang jelas.
Menurutnya, cadangan itu dikemukakan sebagai sebahagian daripada agenda kos sara hidup yang dikemukakan AMK bagi memperkukuhkan reformasi subsidi secara lebih responsif mengikut keadaan ekonomi dan keperluan rakyat.
“Jika tekanan harga minyak dunia kembali reda, kedudukan fiskal negara terus mengukuh dan hasil kerajaan memberikan ruang yang lebih besar, maka kita mencadangkan supaya siling subsidi BUDI95 disemak semula dan dikembalikan sekurang-kurangnya kepada 300 liter sebulan.
“Pada masa sama, mekanisme tambahan sehingga 350 liter bagi kelompok yang mempunyai keperluan operasi dan mobiliti yang lebih tinggi boleh dipertimbangkan, tertakluk kepada pengesahan data yang jelas,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres AMK 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam ini.
Muhammad Kamil berkata, AMK menegaskan cadangan itu bukan bermaksud subsidi diberikan tanpa had atau kerajaan mengabaikan disiplin fiskal, sebaliknya, apa yang diperlukan ialah mekanisme subsidi yang lebih responsif terhadap perubahan keadaan ekonomi dan keperluan rakyat.
“Kita tidak mencadangkan subsidi tanpa had, kita juga tidak mencadangkan kerajaan mengabaikan disiplin fiskal (tetapi) apa yang kita minta ialah sebuah mekanisme yang lebih responsif terhadap keadaan ekonomi rakyat,” katanya.
Katanya, kemajuan ekonomi mesti dirasakan dalam kehidupan seharian rakyat menerusi pertumbuhan, pelaburan, peningkatan hasil kerajaan dan kedudukan fiskal yang semakin baik, tetapi semua pencapaian itu akan kehilangan makna jika rakyat masih merasakan kehidupan mereka semakin sempit setiap bulan.
Justeru, beliau berkata, AMK mengiktiraf usaha Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kedudukan kewangan negara dan pada masa yang sama melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup.
© New Straits Times Press (M) Bhd
