Kalah PRN Johor, NS isyarat rakyat belum yakin politik PH – Muhammad Kamil

am@hmetro.ccom.my

Ayer Keroh: Kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, baru-baru ini, adalah isyarat bahawa sebahagian rakyat belum yakin dengan politik dibawa gabungan itu yang dilihat masih belum memahami kebimbangan dan belum mampu memberi jawapan meyakinkan terhadap keresahan dibangkitkan rakyat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata rakyat tidak wajar dipersalahkan kerana membuat pilihan yang tidak memihak kepada PH.

“Dalam demokrasi, rakyat berhak memilih berdasarkan pengalaman, pertimbangan, kebimbangan dan harapan mereka sendiri.

“Tugas kita bukan mempertikaikan kebijaksanaan mereka, tetapi memahami sebab di sebalik pilihan itu dan mencari jalan meraih kembali kepercayaan mereka,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua AMK pada Kongres Nasional AMK 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam ini.

Muhammad Kamil berkata, politik prestasi saja belum tentu mencukupi untuk mengatasi politik identiti dan politik ketakutan yang cuba dibawa pihak lawan.

“Sebahagian lawan politik kita berjaya membina naratif mudah difahami serta mudah menyentuh emosi bahawa Melayu dan Islam sedang terancam, kuasa Melayu sedang hilang, dan masa depan bangsa sedang dipertaruhkan.

“Naratif seperti ini tidak semestinya berasaskan gambaran lengkap mengenai keadaan sebenar negara, tetapi ia berjaya kerana menjawab sesuatu yang sangat manusiawi, rasa takut terhadap kehilangan apa yang dianggap penting.

“Kita perlu memahami perkara ini sebelum kita mampu mengatasinya. Jangan kita menghina orang Melayu yang bimbang mengenai kedudukan mereka. Jangan kita memperlekehkan orang Islam yang mahu melihat agama mereka dihormati.

“Jangan kita menganggap setiap keresahan mengenai bangsa dan agama sebagai tanda kemunduran pemikiran. Keresahan itu wujud, dan politik yang matang perlu mendengarnya,” katanya.

Justeru, beliau berkata, AMK tidak boleh membiarkan politik Melayu dan politik Islam ditentukan hanya oleh mereka yang paling kuat memainkan sentimen, sebaliknya perlu menawarkan sesuatu lebih besar, iaitu keyakinan.

“Keyakinan Melayu tidak akan hilang hanya kerana negara ini berlaku adil kepada semua, bahawa Islam tidak menjadi lemah hanya kerana masyarakat menghormati kepelbagaian.

“Bahawa mempertahankan hak Melayu dan Bumiputera tidak memerlukan kita menutup peluang kepada kaum lain, dan bahawa sebuah negara yang adil kepada semua sebenarnya memperkukuh, bukan menghakis kedudukan Melayu serta Bumiputera.

“Inilah perbezaan antara politik ketakutan dengan politik keyakinan. Politik ketakutan memerlukan musuh untuk terus hidup. Politik keyakinan membina kekuatan daripada ilmu, prestasi, keadilan dan keupayaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top