EURO: Southgate abai desakan luar

EURO: Southgate abai desakan luar

LONDON: Lima tahun selepas Gareth Southgate diberikan peranan membimbing England – menggantikan Sam Allardyce yang hanya bertahan 67 hari – skuad The Three Lions mara ke final kejohanan besar pertama mereka dalam 55 tahun.

Southgate, yang hanya dilantik sebagai pengendali sementara, dilihat oleh Persatuan Bolasepak Inggeris sebagai calon terbaik selepas Allardyce terpaksa dipecat kerana pendedahan akhbar berkenaan nasihatnya untuk “menipu” dalam perpindahan pemain.

Pengalaman Southgate sebelum itu adalah tiga tahun bersama Middlesbrough, yang berakhir dengan penyingkiran dari Liga Perdana, dan skuad bawah 21 England yang tidak konsisten.

Bagaimanapun dia membawa negaranya ke separuh akhir Piala Dunia pertama dalam tempoh 28 tahun pada kejohanan pertamanya sebagai pengendali England tiga tahun lalu di Russia.

Kini Southgate mencapai tanda aras baharu buat pengendali England dengan mara ke final pertama mereka dalam Kejuaraan Eropah.

Sejak berdekad lalu pengendali England sering tunduk kepada kuasa media dan peminat yang mahu pemain terhebat mereka membarisi kesebelasan utama, walaupun terpaksa mengorbankan struktur keseluruhan pasukan.

Paul Scholes bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas beberapa tahun terpaksa beraksi di posisi sayap kiri bagi memberi ruang kepada Frank Lampard dan Steven Gerrard dalam “generasi emas” England yang gagal melepasi peringkat suku akhir kejohanan utama di bawah Sven-Goran Eriksson pada tahun 2002, 2004 dan 2006.

Southgate sebaliknya bertindak berani dengan meletakkan penyerang-penyerang berbakat di bangku simpanan.

Dengan kapten Harry Kane dan Raheem Sterling menjadi tonggak kepercayaannya di barisan depan, hanya satu tempat lagi dalam pasukan menjadi rebutan antara Bukayo Saka, Jack Grealish, Phil Foden, Jadon Sancho dan Marcus Rashford.

Pemain pilihan peminat, Grealish ditukarkan selepas 36 minit beraksi ketika England mencatur strategi untuk mengatasi Denmark di separuh akhir Euro 2020.

“Saya mengikuti apa yang FA (Inggeris) lakukan dan terutamanya bagaimana Gareth membimbing pasukan ini sejak beberapa tahun lalu.

“Bagaimana dia menerajui dan berkomunikasi amat menakjubkan. Tahniah Gareth, saya rasa anda melakukan tugas yang hebat dalam kerja yang sukar ini,” kata pengendali Denmark Kasper Hjulmand selepas aksi separuh akhir. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top