Daiyan tenangkan pakcik, makcik di PPV UKM

Daiyan tenangkan pakcik, makcik di PPV UKM

fatin.farhana@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Selepas lama terperap di rumah, penyanyi, Daiyan Trisha, 28, teruja diberi peluang menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Daiyan atau nama sebenar, Daiyan Trisha Mohd Nasaruddi berterima kasih diberi peluang menyumbang tenaga sebagai sukarelawan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Mungkin sebab sudah lama saya tidak keluar dan hanya duduk di rumah, jadi seronok dapat berjumpa ramai orang. Apatah lagi melihat wajah gembira dan gementar pakcik dan makcik yang berkerusi roda hadir ke PPV. Di situlah tugas saya menaikkan semangat mereka.

“Antara pengalaman mencuit hati apabila seorang pakcik takut dan gementar, tapi selepas saya tepuk tangan dan menyatakan dia boleh buat, pakcik itu ketawa.

“Detik seperti itulah yang membuatkan saya gembira menjalankan tugas sebagai sukarelawan,” katanya BH Online.

Tambah pelakon drama bersiri Projek: Anchor SPM itu, sejak Mei lalu dia memasang niat untuk menjadi sukarelawan bagi mengisi masa lapang.

Justeru, apabila diberi peluang menyertai inisiatif Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) bagi membantu petugas barisan hadapan, dia menerima dengan tangan terbuka.

“Apabila menjadi sukarelawan di UKM dan Qualitas Health Medical Group, saya dapat berbuat sesuatu daripada duduk di rumah.

“Sekurang-kurangnya, saya dapat membantu apa yang patut agar tidak terlalu berat beban barisan petugas hadapan,” katanya yang bertugas sekali seminggu.

Ditanya apakah usahanya itu mampu mempengaruhi selebriti lain mengambil langkah sama, Daiyan berkata, ia terpulang kepada pilihan individu.

“Saya faham apabila kita menjadi sukarelawan, kita terdedah dengan jangkitan COVID-19. Jadi, kalau mereka mahu membantu, mengapa tidak.

“Sebenarnya, ini adalah pilihan individu. Saya tahu ada yang duduk dengan keluarga, jadi takut jangkitan ini menular. Jika nasib tidak baik dijangkiti COVID-19, ini akan membahayakan keluarga mereka.

“Hendak jadi sukarelawan perlulah berhati-hati dan sentiasa menjaga kebersihan,” katanya.

Sementara itu, pengacara Muzik-Muzik ini aktif memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai kepentingan pengambilan vaksin.

Daiyan percaya pengambilan vaksin boleh mencegah jangkitan COVID- 19 dan berupaya memulihkan ekonomi negara.

Mengenai karier seni, Daiyan sedang merakam dan menulis lagu berikutan sudah lama tidak tampil dengan produk baharu.

“Insya-Allah, lagu baharu saya akan dilancarkan tahun ini. Daripada segi lakonan pula, jika kerja penggambaran dibenarkan, dapatlah saya kembali berlakon naskhah baharu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top